Covid-19: Taiwan lapor kes import baharu tertinggi
TAIPEI - Pusat Perintah Epidemik Taiwan (CECC) melaporkan 25,063 jangkitan baharu Covid-19 pada Selasa termasuk 560 kes import dengan 26 kematian.
Menurut CECC, 560 kes itu merupakan jumlah kes import tertinggi yang dilaporkan oleh Taiwan dalam sehari sejak wabak itu meletus pada 2020, sebahagian besarnya mencerminkan lonjakan kes yang melibatkan pelawat yang memasuki Taiwan dari China.
Jumlah kes menunjukkan penurunan 0.6 peratus daripada hari yang sama seminggu sebelumnya, lapor Agensi Berita Pusat Taiwan yang memetik CECC.
Mereka yang meninggal dunia berumur antara 50-an dan 90-an dan 14 daripada kes kematian membabitkan mereka yang tidak divaksin Covid-19.
Sementara itu,16.3 peratus (atau 226) daripada 1,386 pelawat yang tiba terus dari China pada 8 Jan diuji positif sama seperti 15.1 peratus (atau lapan) daripada 53 pelawat dari Xiamen ke Kinmen dan Matsu.
CECC mengeluarkan statistik harian mengenai peratusan ketibaan dari China yang disahkan positif Covid-19, namun angka tersebut tidak sepadan dengan jumlah kes import yang dilaporkan setiap hari berikutan tiada laporan selain ujian yang dijalankan tidak dikumpul.
Sehingga kini, Taiwan merekodkan 9,097,554 kes Covid-19 sejak wabak itu bermula pada awal 2020, termasuk 43,563 diklasifikasikan sebagai kes import.
Dengan 26 kematian yang dilaporkan pada Selasa, jumlah kematian Covid-19 yang disahkan di negara ini meningkat kepada 15,608. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!