'Dah 8 hari tak ada air'
SUBANG - Kira-kira 400 penduduk Blok E Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang terjejas akibat gangguan bekalan air sejak lapan hari lalu.
Pengerusi Persatuan Penduduk Blok E PPR Lembah Subang, Mohd Azmi Yaacob berkata, gangguan disebabkan tangki air rosak.
Menurutnya, ada penduduk terpaksa mengangkut air dari tangki yang terletak di tingkat bawah malah ada yang terpaksa mandi di masjid akibat gangguan bekalan air yang berlaku.
“Saya kasihan kepada penduduk yang uzur dan mempunyai ramai ahli keluarga terpaksa angkut air dari tingkat bawah.
"Ada juga yang terpaksa pergi ke masjid dan ke rumah saudara-mara untuk mandi,” katanya.
Mohd Azmi berkata, pihaknya kecewa dengan pengurusan pangsapuri yang tidak memberi notis awal berhubungan gangguan bekalan itu.
Katanya, penduduk boleh membuat persiapan awal jika mengetahui masalah yang bakal berlaku.
“Pihak kami sudah buat aduan kepada pihak berkenaan untuk tangani masalah bekalan air ini.
“Setelah berhubung dengan ADUN Seri Setia, Halimey Abu Bakar beliau memaklumkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta pihak yang berkenaan sudah mengambil tindakan membaiki tangki air yang rosak.
Penduduk, Rafiah Mat Din, 68, berkata, gangguan bekalan air menimbulkan kesukaran apatah lagi kepada warga emas sepertinya.
"Saya tinggal seorang diri di sini, bila jadi masalah macam ni saya terpaksa upah orang untuk angkut air naik ke tingkat tujuh unit rumah diduduki.
“Sekali angkut saya bayar upah sebanyak RM20 kasihan juga kepada mereka,” katanya.
Peniaga, Abdullah Hassan, 38 berkata perniagaannya terjejas selepas berlaku gangguan bekalan air di pangsapuri tersebut.
"Operasi perniagaan terganggu bila tiada air, belum masuk lagi untuk penuhi keperluan keluarga,” katanya.
Penduduk, M. Kalawati, 53 berkata, dia kepenatan apabila terpaksa berulang kali mengangkut air dari tingkat bawah.
Katanya, dia juga terpaksa mencuci pakaian di dobi dan tidak dapat memasak di rumah.
“Banyak kali saya kena angkut air setiap hari.
“Malah sejak tak ada air saya terpaksa cuci baju dekat dobi dan beli makanan di kedai,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!