Polis lepas tembakan, suspek kes dadah cuba rempuh anggota

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kereta dinaiki seorang lelaki yang juga suspek kes dadah apabila cuba merempuh anggota bertugas dalam cubaannya melarikan diri di Plaza Tol Kuantan di sini pada awal pagi Selasa.

Sebelum itu, suspek berusia 39 tahun ditahan untuk pemeriksaan setelah dilihat dalam keadaan mencurigakan, namun dia enggan memberi kerjasama.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek mengundurkan kereta jenis Toyota Yaris dipandu dan melanggar kenderaan polis.

Menurutnya, suspek kemudian bertindak memecut kereta ke arah seorang anggota yang berada di tepi jalan memaksa empat das tembakan dilepaskan ke arah tayar kereta tersebut.

"Suspek bagaimanapun terus memecut keretanya melalui laluan bertentangan menghala ke arah Sungai Lembing sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan.

"Lelaki itu berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, hasil pemeriksaan ke atas kereta suspek, polis menemui dan merampas sampul berisi dua peket plastik disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 101.64 gram bernilai RM5,600.

"Suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan turut memiliki dua rekod lampau berkait kes dadah dan jenayah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!