Erdogan mungkin bertemu Assad sebelum pemilihan Presiden Turkiye
ANKARA - Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mungkin akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Syria Bashar al-Assad sebelum pilihan raya presiden Turkiye yang dijangkakan pada Mei, lapor Sputnik.
Pertemuan antara pemimpin itu merupakan sebahagian daripada normalisasi peringkat ketiga hubungan Turki-Syria, lapor akhbar Aydinlik pada Selasa, memetik sumber.
Pada 15 Disember, Erdogan berkata beliau telah menawarkan Presiden Rusia Vladimir Putin untuk mengadakan pertemuan antara pemimpin Turkiye, Rusia dan Syria yang didahului dengan mesyuarat ketua-ketua perkhidmatan perisikan, pertahanan dan kementerian luar masing-masing.
Menteri-menteri pertahanan Rusia, Syria dan Turkiye mengadakan rundingan tiga hala di Moscow akhir tahun lalu untuk membincangkan cara menyelesaikan krisis Syria, menurut Kementerian Pertahanan Rusia. Rundingan itu merupakan pertemuan rasmi pertama antara Ankara dan Damsyik dalam tempoh 11 tahun.
Selepas perbincangan itu, Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu berkata Ankara mencadangkan mesyuarat menteri luar Turki dan Syria diadakan pada pertengahan Januari, berkemungkinan di negara ketiga. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!