Kerajaan teliti semula cadangan hukuman gantian mati mandatori

Ramkarpal Singh - Foto Bernama
Ramkarpal Singh - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Cadangan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori yang sedang diteliti kerajaan mengambil kira kedudukan semua pihak terlibat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, langkah tersebut memastikan keadilan dapat ditegakkan serta kedaulatan undang-undang sentiasa diberi keutamaan.

"Kerajaan sedang melaksanakan inisiatif untuk meneliti dan mengkaji semula cadangan serta pandangan yang telah dikemukakan sebelum ini berkaitan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori termasuk syor-syor jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh mantan Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum, sesi libat urus dengan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan badan bukan kerajaan (NGO)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Ram, pihaknya mengalu-alukan cadangan dan input baharu daripada CSO dan NGO agar proses pembaharuan undang-undang telus dan holistik.

"Proses ini perlu menitikberatkan aspek perundangan, oleh itu pindaan undang-undang yang berkaitan akan dimuktamadkan dengan segera memandangkan pindaan-pindaan ini dijadualkan untuk dibentang di Dewan Rakyat pada persidangan yang akan datang," ujarnya.

Beliau berkata, sebanyak tujuh rang undang-undang (RUU) berkaitan pindaan akta untuk pelaksanaan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori telah dibentangkan oleh mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang) di Dewan Rakyat pada 6 Oktober 2022.

"Sebarang pindaan perlu dibentangkan semula ke sidang Parlimen yang akan datang berikutan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu," kata beliau.

Tegas Ram, kerajaan sentiasa komited terhadap pemansuhan hukuman mati mandatori dan yakin penyelesaian terbaik akan dilaksanakan terhadap 1,327 orang banduan hukuman mati demi memastikan kepentingan semua pihak.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!