Infrastruktur desa Sabah, Sarawak perlu sama di Semenanjung
KUALA LUMPUR - Pembangunan infrastruktur di kawasan desa di Sabah dan Sarawak harus menyamai tahap infrastruktur di kawasan desa di Semenanjung, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pada keseluruhan infrastruktur desa di Semenanjung berada pada tahap memuaskan dan beliau melihat infrastruktur desa di kedua-dua negeri berkenaan mesti dipertingkatkan.
"Sabah dan Sarawak telah berada di tahap wilayah, ia (kedua-dua negeri itu) bukan hanya perlu dibangunkan tetapi setelah lebih 60 tahun negara kita mencapai kemerdekaan, maka perimbangan antara wilayah itu perlu diperkirakan dan disegerakan.
"...(pembangunan infrastruktur di Sabah dan Sarawak) untuk sekurang-kurangnya menyamai infrastruktur desa di Semenanjung,” katanya ketika berucap pada Majlis Sembang Santai Bersama Media di Menara Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, perkara itu perlu diberi perhatian memandangkan projek Lebuhraya Pan Borneo yang akan dibuka sepenuhnya tidak lama lagi bakal menjadi penghubung utama penduduk Sabah, Sarawak dan Brunei.
"Apatah lagi apabila Pan Borneo menghubungkan Sarawak dan Sabah dan akan ada hubungan dengan Brunei maka kesalinghubungan dari jalan utama ke bandar-bandar kecil dan kampung di laluan Pan Borneo di kedua-dua negeri ini mesti diwujudkan,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut memberi tumpuan kepada isu jurang pendapatan serta kadar kemiskinan antara penduduk luar bandar, pinggir bandar dan dalam bandar.
Beliau berkata, ia perlu diberi keutamaan selepas beberapa kali angka garis kemiskinan yang dilaporkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berubah berdasarkan situasi ekonomi semasa.
"Secara relatifnya, ia (kemiskinan) tidak boleh dilihat di desa sahaja tetapi harus dilihat di pinggir bandar dan dalam bandar. Fakir di bandar telah menyamai di desa,” katanya.
Mengenai Majlis Sembang Santai Bersama Media, Ahmad Zahid berkata, KKDW akan melakukan langkah proaktif untuk menjalinkan hubungan antara kementerian dan media dalam usaha menyebarluaskan liputan aktiviti kementerian.
"Saya berasakan kementerian ini tidak terlalu banyak menghidangkan isu kontroversi. Oleh kerana ia berjalan sebagai sebuah kementerian...maka liputan yang terpapar berada di sekitar kenyataan media dan juga sidang media sahaja.
"...Oleh demikian, saya mahu menukar pendekatan baharu dengan melakukan pendekatan game changer antara media dan KKDW,” katanya yang turut meminta kerjasama daripada pihak media untuk memberi saranan bagi menambah baik liputan berkaitan KKDW. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!