Kanak-kanak tertidur dalam kereta berkunci
ALOR SETAR - Tindakan pantas Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki yang terkunci di dalam sebuah kereta di Jalan Sultanah, Taman Uda Alor Setar, dekat sini pada petang Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba Ahmad Naufal Abdullah berkata, anggota bomba mengambil masa kira-kira dua minit membuka pintu kereta dengan menggunakan peralatan khas untuk menyelamatkan mangsa berusia enam tahun itu.
Menurutnya, seorang pegawai dan tujuh anggota telah digerakkan ke lokasi selepas Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kedah menerima panggilan Kecemasan.
"PGO menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 memaklumkan menerima panggilan kanak-kanak terkunci di dalam kereta Perodua Alza pada jam 6.08 petang.
"Mangsa seorang kanak-kanak lelaki sedang tidur di dalam kereta berkenaan dan anggota BBP Alor Setar berjaya membuka pintu kereta dan mengeluarkan mangsa berkenaan dengan menggunakan peralatan khas," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ahmad Naufal berkata, Operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.28 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!