Malaysian Tigers buru tonik mujarab

Malaysian Tigers
Malaysian Tigers
A
A
A

PERLAWANAN persahabatan menentang Sepanyol esok penting bagi Malaysian Tigers dalam usaha menyesuaikan pemain dengan corak permainan berintensiti tinggi menentang pasukan berkelas dunia pada Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar-Rourkela, India, dari 13 hingga 29 Januari ini.

Kapten Malaysian Tigers, Muhammad Marhan Mohd Jalil berkata, aksi pemanas badan menentang pasukan di ranking kelapan dunia itu juga, menjadi platform terbaik bagi rakan sepasukannya untuk memperbaiki kelemahan yang ada, menjelang kejohanan berprestij tersebut.

Pemain pertahanan itu berharap, agar rakan sepasukan dapat menampilkan persembahan terbaik menentang skuad dari Eropah itu, sekali gus dapat menyuntik motivasi buat pasukan bimbingan Arul Selvaraj sewaktu bersaing di India.

“Buat masa sekarang, semua pemain dalam keadaan baik dan bersemangat dari segi mental and fizikal. Pemain juga dapat sesuaikan diri dengan suasana (pertandingan),” katanya dalam satu video ringkas dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia pada Selasa

Malaysia yang menduduki ranking ke-11 dunia selepas berdepan Belanda dalam aksi pembukaan Kumpulan C dijadual berdepan Chile yang berada di ranking ke-22 dunia pada 16 Januari, sebelum menamatkan saingan kumpulan berdepan New Zealand (kesembilan dunia) pada 19 Januari.

Mengikut format kejohanan, juara kumpulan akan terus mara ke suku akhir, manakala pasukan di tempat kedua dan ketiga akan beraksi menentang pasukan Kumpulan D (England, India, Sepanyol, Wales) pada pusingan kalah mati untuk slot ke suku akhir.

Penyertaan di India bakal menjadi penampilan kesembilan skuad hoki negara di Piala Dunia sejak diperkenalkan pada 1971, dengan pencapaian terbaik adalah meraih tempat keempat pada edisi 1975 ketika Malaysia menjadi tuan rumah.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!