‘Kami sudah lali dengan banjir kilat’

Keadaan banjir kilat yang berlaku di Kampung Padang Luar, Kuala Ibai di Kuala Terengganu pada 20 Disember tahun lalu.
Keadaan banjir kilat yang berlaku di Kampung Padang Luar, Kuala Ibai di Kuala Terengganu pada 20 Disember tahun lalu.
A
A
A

PENDUDUK mendakwa masalah banjir kilat yang berlaku di Kampung Padang Luar, Kuala Ibai, di Kuala Terengganu berlarutan sejak 40 tahun lalu.

Keadaan itu bukan hanya menjejaskan laluan kenderaan dan pekarangan rumah malah ada segelintir daripada mereka terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana limpahan air mencecah sehingga paras pinggang orang dewasa.

Apa Khabar Rakyat minggu ini menyelami suara hati sebahagian penduduk daripada 20 buah rumah yang telah lali berdepan situasi itu sejak sekian lama, ikuti laporan wartawan Sinar Harian, Norhaspida Yatim.

Berdepan situasi rumah yang sering dinaiki air tanpa mengira musim sudah menjadi kelaziman bagi peniaga kuih, Tuan Shahlawani Tuan Jantan, 39.

Ibu kepada enam anak itu memberitahu, situasi itu dilalui sejak 19 tahun lalu iaitu ketika mula-mula menetap di kawasan tersebut.

Bahagian dapur dan bilik air rumahnya menjadi lokasi ‘wajib’ dinaiki air setiap kali hujan lebat walaupun dia sekeluarga telah berusaha meninggikan ruangan bilik mandi bagi mengelak dinaiki air.

“Musim banjir ini sahaja rumah saya sudah empat kali dinaiki air hingga melimpah di bahagian dapur rumah sehingga mencecah 0.3 meter.

“Itu cerita pada musim banjir, kalau bukan musim banjir pun air tetap masuk rumah kalau hujan lebat memandangkan kedudukan rumah saya lebih rendah berbanding rumah-rumah lain,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Tuan Shahlawani, banjir kilat melanda rumahnya itu pernah mengambil masa sehingga hampir seminggu untuk surut.

“Biasanya air bertakung akibat banjir kilat tidak lama. Pernah juga dua hari air baru surut. Paling lama air banjir bertakung pada 20 Disember tahun lalu apabila kawasan rumah digenangi air selama lima hari kerana fenomena air pasang besar dan hujan lebat.

“Kalau diikutkan penat memang penat lebih-lebih lagi bahagian dapur digenangi air.

“Susah untuk memasak dan ke bilik air. Saya sudah tidak nampak jalan lain melainkan saya kena ubah suai sebahagian besar rumah,” ujarnya.

Sementara itu, Muhammad Nasrullah Othman, 29, berkata, dia agak terkejut kerana kawasan rumah di situ dinaiki air memandangkan mereka tujuh beranak baru lima bulan menyewa di situ.

“Sebenarnya saya sendiri tidak jangka kawasan ini akan dinaiki air. Mujurlah ada yang beritahu perlu alihkan kereta ke tempat tinggi di birai jalan raya.

“Saya pun ikut sama alihkan kereta. Tak lama kemudian kawasan kaki lima rumah digenangi air. Mujur air tidak masuk sehingga ke dalam rumah,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Nuur Sakinah Rozak, 31, menjelaskan, dia sudah lali menempuh situasi banjir kilat kerana membesar di kampung itu dan kini tinggal bersama keluarganya selepas berumah tangga.

“Saya sudah lali main air banjir di sini yang sudah 40 tahun melanda kawasan ini setiap kali hujan lebat. Air naik tidak menentu.

“Banjir baru-baru ini kami sekeluarga terpaksa berpindah selama tiga hari di PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering kerana air agak tinggi di dalam rumah sehingga kira-kira 0.5 meter,” katanya.

Menurut Nuur Sakinah, bahagian ruang tamu rumah sudah ditinggikan namun air tetap melimpah masuk ke ruangan itu.

“Walaupun hanya banjir kilat, kami semua sudah bersedia mengangkat barang ke tempat lebih tinggi setiap kali hujan lebat.

“Dalam banjir baru-baru ini air naik sejak petang. Kami jangka ia tidak lama namun air kali ini agak tinggi dan kami semua berpindah ke PPS pada sebelah malam,” katanya.

Sementara itu, penduduk lama menetap di kawasan itu, Mohmad Ngah, 63, memberitahu, sebelum ini kawasan kampung tersebut tidak dinaiki air pada tahun 1970 kerana terdapat kawasan tanah rendah di situ.

Namun, ujarnya, situasi semakin berubah setelah berlaku pembangunan di kawasan tersebut seperti laluan jalan utama ditinggikan dan tiada sistem perparitan yang teratur.

“Dulu, jalan utama di sini agak rendah sebab itulah air mudah mengalir ke luar. Air mula naik di kawasan sini dalam tahun 1985.

“Kalau hujan berterusan dalam tiga hingga empat hari kami semua sudah perlu bersiap sedia,” ujarnya.

Tambah baik sistem perparitan elak air bertakung

Sementara itu, wakil panduduk, Muhammad Hussin Md Zain, 43, berkata, masalah banjir kilat di Kampung Padang Luar, Kuala Ibai dilihat boleh diatasi sekiranya sistem perparitan ditambah baik bagi melancarkan aliran air.

Katanya, longkang bersebelahan jalan utama perlu diperbesarkan bagi memastikan kawasan itu tidak lagi digenangi air ketika hujan lebat.

“Banyak faktor menyebabkan air bertakung di sini. Apabila hujan lebat, sampah sarap juga memenuhi longkang sedia ada dan air tidak dapat mengalir.

“Ia juga dipengaruhi oleh faktor pembangunan dan sistem perparitan yang tidak diselenggara menyebabkan masalah sama sering berulang saban tahun.

“Kepesatan penduduk juga turut menyumbang. Walaupun banjir yang berlaku hanya banjir kilat, ia membebankan penduduk yang terjejas,” ujarnya.

Muhammad Hussin memberitahu, faktor geografi juga menjadi salah satu punca kawasan itu dinaiki air kerana situasi banjir bertambah buruk apabila air hujan bertembung dengan air pasang besar di lembangan Sungai Ibai.

“Apabila berlaku air pasang, Sungai Ibai sudah tidak dapat menampung air yang banyak menyebabkan limpahan air berlaku di kawasan ini.

“Difahamkan, ada usaha daripada pihak berwajib untuk mengatasi masalah ini namun setakat ini kita lihat masih belum berhasil. Jawatankuasa khas dilihat perlu ditubuhkan bagi menyelesaikan isu ini.

“Pemeriksaan secara berkala juga perlu dibuat bagi mengenal pasti penyebab utama banjir kilat selain faktor semula jadi. Dalam situasi ini, mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Sekali banjir berlaku kerugian yang perlu ditanggung juga bukan sedikit,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!