3 sungai di Hulu Selangor hotspot lemas, kepala air
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, kawasan tersebut adalah Sungai Batang Kali, Sungai Chiling dan Sungai Pertak.
"Secara umumnya, kesemua sungai atau jeram berisiko untuk berlaku kepala air atau berlaku insiden lemas namun begitu jika dikategorikan sebagai lokasi hotspot (titik panas), ia adalah (lokasi di mana) kejadian yang berlaku lebih dari sekali,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan statistik, sepanjang tempoh itu sebanyak 15 kes mati lemas dan enam kes terperangkap dalam kepala air dilaporkan di Selangor melibatkan 10 kawasan rekreasi di sungai, air terjun, hutan lipur dan lata.
Daripada jumlah itu, katanya, Sungai Batang Kali mempunyai rekod kes lemas paling tinggi iaitu sebanyak lima kes dan empat kes melibatkan mangsa yang terperangkap dalam kepala air.
Justeru, Norazam menasihatkan orang awam agar berhati-hati dan berwaspada terhadap tanda-tanda kepala air sebelum memulakan aktiviti perkelahan atau sebarang aktiviti rekreasi berdekatan sungai.
"Sekiranya terperangkap di kepala air, hubungi pasukan penyelamat atau tunggu sehingga kepala air reda dan jangan sekali-kali menyeberangi sungai pada waktu itu,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!