Iran jatuhan hukuman penjara 40 tahun terhadap rakyat Belgium

Penunjuk perasaan memegang poster bertulis 'Keutamaan adalah hak hidup untuk Olivier' semasa demonstrasi untuk Olivier Vandecasteele di Brussels, Belgium. - Foto AFP
Penunjuk perasaan memegang poster bertulis 'Keutamaan adalah hak hidup untuk Olivier' semasa demonstrasi untuk Olivier Vandecasteele di Brussels, Belgium. - Foto AFP
A
A
A
TEHRAN - Badan kehakiman Iran menjatuhkan hukuman penjara 40 tahun dan 74 sebatan kepada seorang warga Belgium membabitkan empat pertuduhan, termasuk pengintipan dan beberapa jenayah kewangan.

Olivier Vandecasteele ditahan pada Februari tahun lalu oleh agensi keselamatan Iran dan dijatuhi hukuman pada Selasa atas empat pertuduhan, lapor Agensi Anadolu memetik Mizan News.

Bagi dua pertuduhan utama iaitu "mengintip untuk agensi perisikan asing" dan "bekerjasama dengan Barat yang bermusuhan dengan negara Iran", bekas pekerja bantuan berusia 41 tahun itu berdepan hukuman penjara selama 12.5 tahun.

Pertuduhan lain termasuk "penyeludupan profesional mata wang asing" berjumlah US$500,000, dan dia dijatuhi hukuman penjara 2.5 tahun dan 74 sebatan.

Dia juga didakwa melakukan pengubahan wang haram dengan jumlah yang sama, menjadikan hukuman penjara secara keseluruhan selama 40 tahun.

Hukuman itu boleh dicabar di mahkamah rayuan dalam tempoh 20 hari bekerja, menurut badan kehakiman.

Pada bulan lalu, ahli keluarga Vandecasteele berkata, mereka telah dimaklumkan semasa pertemuan dengan perdana menteri Belgium bahawa dia akan dijatuhi hukuman penjara 28 tahun.

Warganegara Belgium itu yang sebelum ini bekerja untuk Majlis Pelarian Norway, mengaku tidak bersalah dan pihak berkuasa di Belgium juga telah menyifatkan pemenjaraannya sebagai tidak sah.

Menteri Luar Belgium Hadja Lahbib, bertindak balas terhadap hukuman itu di Twitter sambil berkata, duta Iran ke Brussels akan dipanggil sebagai tanda protes.
Artikel Berkaitan:


Minggu lalu, jurucakap badan kehakiman Masoud Setayeshi berkata dakwaan telah dikeluarkan terhadap warga Belgium itu pada 9 November atas tuduhan pengintipan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!