Adik dituduh sebabkan kematian abang
SUNGAI PETANI - Seorang lelaki warga Pakistan didakwa di Mahkamah Seksyen Sungai Petani menyebabkan kematian abangnya dalam kejadian di Taman Desa Meranti di sini dua minggu lalu.
Tertuduh, Ali Ashtar, 24, didakwa melakukan perbuatan itu pada jam lebih kurang 10.30 malam bertempat di sebuah rumah di taman perumahan terbabit 31 Disember lalu.
Mengikut pertuduhan, dia telah melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Mukhtiar Ali, 39, yang juga merupakan seorang warga Pakistan dengan niat hendak menyebabkan kematian.
Dengan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh dan boleh dihukum di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan (Akta 574).
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara yang boleh sampai 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Galvin Loo Wei Ming manakala tertuduh diwakili Peguam SP Raman.
Hakim Azman Abu Hassan menetapkan sebutan semula kes pada 20 Februari 2023 bagi mendapatkan jurubahasa Urdu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang abang maut ditikam selepas dikatakan tidak bersetuju dengan keputusan adiknya yang mahu pulang ke negara asalnya di Pakistan.
Mangsa dipercayai bertindak menyembunyikan tiket penerbangan dengan tujuan menghalang adiknya pulang menyebabkan tercetus pergaduhan.
Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan parah dipercayai ditikam di paha selain kesan lebam pada badan.
Mangsa yang tidak sedarkan diri kemudian dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 10.37 malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!