FIFA puji penyokong Harimau Malaya
PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memuji sikap penyokong Harimau Malaya yang menunjukkan semangat kesukanan tinggi selepas tamat perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF di Stadium Thammasat pada Selasa.
Walaupun skuad negara tewas 1-3 secara agregat kepada skuad Gajah Perang, namun sekumpulan penyokong Harimau Malaya yang dikenali sebagai Ultras Malaya yang bertandang ke arena lawan itu memberikan tanda hormat kepada Thailand.
Dalam satu video tular, mereka menampilkan sikap profesional menyanyikan lagu Sawadikap Thailand dan turut melaungkan tewaskan Vietnam sebagai semangat kepada pasukan Thailand yang akan menentang Vietnam di perlawanan akhir nanti.
Para pemain Thailand juga turut sama berada di hadapan Ultras Malaya dilihat tersenyum dan bertepuk tangan mendengar nyanyian Ultras Malaya.
Laman Twitter rasmi AFF Mitsubishi Electric Cup juga memuat naik video nyanyian tersebut selain turut meninggalkan soalan adakah penyokong Harimau Malaya adalah penyokong terbaik di ASEAN.
Video tersebut juga telah menarik perhatian FIFA yang turut berkongsi video nyanyian Ultras Malaya itu di laman Twitter mereka.
"Permainan yang cantik. Penyokong Malaysia menunjukkan hormat mereka kepada Thailand selepas tewas dalam @affmecup," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!