Peralihan sumber tenaga elektrik diharap tidak beban rakyat
SHAH ALAM - Langkah Tenaga Nasional Berhad (TNB) melaksanakan peralihan sumber pembekalan tenaga elektrik daripada gas dan arang batu kepada sifar karbon menjelang 2050 diharapkan tidak membebankan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah (B40).
Menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, kos yang tinggi dalam penjanaan elektrik selama ini adalah berikutan kenaikan harga sumber berkenaan.
Ujar beliau, kerajaan kini dalam usaha untuk menangani isu kenaikan kos sara hidup dalam kalangan rakyat.
“Fokus utama kerajaan adalah untuk mengimbangi keperluan fiskal pentadbiran di samping mengurangkan beban rakyat terbukti semasa saya mengumumkan semakan kadar Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bagi pengguna di Semenanjung untuk tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2023 baru-baru ini.
“Semua pengguna domestik (tarif A), pengguna tarif voltan rendah (tarif B dan D) yang terdiri daripada perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan pengguna tarif pertanian (tarif H) tidak mengalami sebarang kenaikan tarif elektrik.
“Ini melibatkan lebih sembilan juta pengguna dengan jumlah subsidi yang mencecah RM10.76 bilion,” katanya ketika berucap semasa lawatan kerja pertamanya ke Ibu Pejabat TNB di Bangsar pada Selasa.
Nik Nazmi menambah, kerajaan pada masa yang sama akan menyokong usaha TNB dalam menggalakkan perkembangan ekosistem peralihan tenaga negara.
Jelasnya, pelaburan infrastruktur elektrik TNB ini adalah amat penting memandangkan syarikat berkenaan memikul tanggungjawab sebagai peneraju peralihan tenaga negara.
”Selepas penswastaan, TNB menjadi antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) paling berjaya bukan sahaja dari segi perkhidmatan bekalan elektrik, tapi juga dividen kepada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
“Sumbangan ini sangat besar dan ia dapat dinikmati rakyat,” ulas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!