Tiga kakitangan JKM direman kemuka tuntutan palsu
JOHOR BAHRU - Tiga kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Tangkak direman selama lima hari bermula Rabu selepas mereka disyaki membuat tuntutan palsu dua tahun lalu.
Perintah reman terhadap ketiga-tiga lelaki berusia 43 tahun itu dikeluarkan Majistret Norkhalida Farhana Abu Bakar di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Rabu.
Pada Selasa, SPRM Cawangan Segamat menahan seorang Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat di pejabat SPRM Johor pada 10.55 pagi kerana disyaki membuat tuntutan palsu sebanyak RM2,000 terhadap Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan JKM Johor.
Menurut sumber, lelaki terbabit membuat tuntutan pada 2021 bagi pelaksanaan penyediaan makanan dan minuman Program Bakul Makanan di bawah inisiatif Pakej Khas Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai), yang mana ia didapati tidak dilaksanakan.
Dua lagi iaitu pembantu pembangunan masyarakat ditahan SPRM Cawangan Segamat di pejabat SPRM Johor semalam antara jam 10.30 hingga 11 pagi.
Kedua-duanya disyaki mengemukakan tuntutan palsu terhadap JKM Daerah Tangkak sebanyak RM1,200, bagi bayaran terhadap empat penerima Tabung Bantuan Segera, namun bayaran itu tidak diterima penerima.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!