Ujian setahun buat Pakatan Harapan
MUNGKIN ada benarnya kata sesetengah penyokong, juga pemimpin Pakatan Harapan (PH), bahawa kemenangan Barisan Nasional (BN) di Rantau minggu lalu bukan gambaran sebenar kebencian rakyat.
Malah kemenangan tiga kali berturut-turut pada PRK – sebelum ini Cameron Highlands dan Semenyih – juga bagi sesetengah orang bukan penolakan PH secara menyeluruh.
Ramai mengandaikan PRK tidak sama dengan PRU. Apa juga keputusan mana-mana pilihan raya kecil, tidak semestinya mencerminkan keadaan sebenar pada pilihan raya umum.
Tetapi sekiranya PH prihatin – dan dia sepatutnya! – tewas tiga kali berturut-turut itu adalah petanda awal protes rakyat selepas tsunami 9 Mei 2018.
Sekutu PH amnya, dan Putrajaya khasnya, mula diperhatikan juga dinilai dengan teliti oleh seluruh rakyat yang telah menunjukkan kematangan pada PRU14.
Bukan tidak mungkin kematangan – dan keberanian itu – boleh ditunjukkan dan digunakan sekiranya perlu, selepas ini!
Pentadbiran apa yang diuar-uarkan sebagai ‘Malaysia Baharu’, bulan depan genap setahun, mesti membuktikan pembaharuan, kalau boleh dalam semua perkara.
Memang dalam tempoh singkat adalah mustahil untuk merubah dan memperbaharui semuanya. Hatta lampu Aladdin pun tidak boleh menukar Malaysia dalam sekelip mata.
Namun, kalau pun tidak boleh ditukar sekelip mata, rakyat tidak mahu kita mengulangi apa yang dalam pentadbiran lalu dianggap sebagai tidak betul. Malangnya, apa yang dulu diperlekeh, kini diteruskan.
Sekadar contoh kecil: penetapan harga mingguan minyak yang semasa BN dulu dikatakan tidak sesuai, sampai kini masih diguna pakai. Tiada perubahan.
Lagi contoh: kaedah bayaran PTPTN yang dijanjikan akan memudahkan peminjam sampai kini masih tergantung. Alasan kerajaan: tidak mempunyai data dan perincian untuk memperkenalkan kaedah baharu.
Banyak perkara yang sepatutnya dibuat untuk meredakan rakyat, tidak dapat dilakukan atas alasan kita telah kekeringan duit gara-gara kemusnahan yang dilakukan pentadbiran lama.
Paling terasa dan mengecewakan rakyat ialah tekanan hidup yang tidak berubah, malah lebih teruk daripada apa yang dialami sebelum ini.
Memang rakyat mengharapkan pertukaran pentadbiran – juga pemansuhan GST – akan menjadikan hidup lebih selesa. Apa yang terjadi adalah sebaliknya, harga barangan tidak turun-turun seperti diharapkan.
Hatta Tun Daim Zainuddin pun mengakui keputusan PRK Rantau adalah susulan kemarahan rakyat berkenaan isu kos sara hidup tersebut.
Penasihat ekonomi kerajaan yang juga bekas Menteri Kewangan itu mahu rakyat diberi penjelasan sebenar mengenai kenaikan kos hidup. Daim memberi tempoh enam bulan dan kerajaan mesti tegas dalam memberi penjelasan. Kalau boleh kata boleh; kalau tidak boleh kata tidak boleh.
Untuk berlaku adil, dalam tempoh baru setahun jagung ini bukan tidak ada kebaikan dan pembaharuan dilakukan oleh PH.
Contoh: meski dengan pelbagai kekangan, beberapa perubahan institusi @ institutional reform telah dilakukan.
Pendedahan dan pembaikpulihan beberapa agensi – contoh Tabung Haji dan Felda – melegakan dan meyakinkan umum tentang kesungguhan usaha pembaharuan PH.
Tetapi bagi rakyat terbanyak mereka tidak berasa apa-apa atas perubahan atau penstrukturan semula institusi. Juga mereka tidak faham turun-naik saham, kadar GDP, FDI dan istilah-istilah ekonomi yang hebat-hebat itu.
Apa yang mereka terasa secara langsung setiap hari harga barangan dan perkhidmatan yang tidak turun-turun.
Mereka tidak faham kedudukan RM berbanding Dolar. Tetapi mereka tahu dan amat terasa – harga ikan kembung melambung hingga RM15 per kilo. Itu yang menekan mereka.
Maka kerajaan perlu menjelaskan apa sebenarnya yang menyebabkan harga ikan kembung, teh tarik, nasi lemak, roti canai naik.
Kerajaan tidak boleh hanya pandai menyalahkan pentadbiran terdahulu, tetapi perlu memperbetulkan apa yang telah musnah.
Jangan asyik kata “kita tidak ada duit, sebab semua telah dihabiskan oleh kerajaan dulu!” Itu klise yang rakyat sudah faham.
Rakyat hendak tahu apa yang kita boleh buat untuk mengurangkan harga ikan kembung.
Ini ujian utama Malaysia Baharu untuk setahun pertama ini.
* Datuk Abd Jalil Ali ialah Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!