PRN Selangor: Kerjasama PH-BN diputuskan hujung bulan ini
Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor berkata, beliau telah berjumpa secara tidak formal dengan beberapa pihak dalam BN bagi membincangkan perkara tersebut.
"Dalam minggu ini atau awal minggu depan, saya akan buat pengumuman. Hari ini saya akan membawa ke mesyuarat Exco dan membuat keputusan tertentu. Ia adalah perbincangan yang sangat positif dan saya berharap ia akan mewakili sentimen dalam kerajaan Persekutuan.
"Harap selewat-lewatnya bulan ini, kita sudah tentukan jenis kerjasama dan selepas itu, pada Februari dan seterusnya kita membuat persiapan untuk pilihan raya negeri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 kepada penjawat awam di negeri itu pada Rabu.
Amirudin juga berkata, mandat telah diperoleh daripada PKR untuk memulakan perbincangan berkenaan kerjasama tersebut dan ia akan diputuskan dalam kalangan parti gabungan PH.
"Secara asasnya saya tahu tidak ada tentangan, cuma kita kena melihat formulanya. Saya tak jumpa (ahli BN) secara formal, kita jumpa secara tidak rasmi di acara dan majlis dan dinyatakan tarikh dan waktu yang perlu ditetapkan.
"Maksudnya kita kena buat permulaan kepada perbincangan. Itu kena ada kerangka kerja... Jadi kita kena mulakan dengan beberapa kerangka kerja, apa yang perlu dimulakan dan sebagainya," kata beliau. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!