Kehilangan kapal kargo sejak 11 hari lalu masih misteri
JOHOR BAHRU - Kehilangan kapal kargo dari Malaysia, MV Dai Cat 06 yang dilaporkan sejak 11 hari lalu masih menjadi misteri selepas tiada perkembangan terkini tentang nasib mereka.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya terus bekerjasama dengan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Republik Indonesia selepas kapal itu kali terakhir dikesan di perairan negara itu.
Jelasnya, Basarnas akan mengkoordinasikan pencarian kapal kargo membawa muatan 527 besi paip itu yang dianggarkan bernilai RM726,000, selepas dikesan di republik itu pada kedudukan 30 batu nautika barat laut Pemangkat.
"Berdasarkan maklumat terakhir itu diterima pada 11 malam tadi, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru daripada Maritime Rescue Control Centre (MRCC) Putrajaya dimaklumkan, Basarnas Republik Indonesia akan mengkoordinasikan pencarian kapal kargo itu.
"Ini berdasarkan maklumat berkemungkinan kapal berada dalam perairan Indonesia. Sehingga kini tiada maklumat terkini penemuan kapal berkenaan.
"Kami masih menunggu maklumat dari pihak MRCC dan Basarnas," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, identiti lima kru kapal Kargo MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang itu sudah dikenal pasti.
"Tiga daripada lima kru berkenaan adalah warganegara Malaysia iaitu pegawai kanan Mohammad Syafarizan Mohd Noor, 24; dua kelasi Mohammad Sudeh Sudin, 20, dan Derrent Littor, 22.
"Dua lagi kru kapal merupakan warga Indonesia iaitu nakhoda kapal dikenali sebagai Adi, 43, serta ketua jurutera Damai Papane Ole, 57," katanya.
Pada Selasa Sinar Harian melaporkan kes kehilangan sebuah kapal kargo dari jeti Kampung Acheh, Perak ke Kuching, Sarawak hilang pada 1 Januari lalu.
Kehilangan kapal berkenaan terbongkar selepas ejen kapal membuat laporan polis pada Isnin.
Laporan mendakwa kapal kargo MV Dai Cat 06 keluar dari jeti Perak pada 23 Disember 2022 dan sepatutnya tiba di Kuching, Sarawak pada 31 Disember 2022.
Lokasi terakhir kapal ini dikesan menerusi sistem Automatic Identification System (AIS) adalah pada 1 Januari lalu di perairan Indonesia iaitu 0.2 batu nautika dari sempadan perairan negeri Johor.
Maklumat diperolehi pada 10.42 malam Isnin, suatu isyarat kecemasan Emergency Position Indicatior Radio Beacon (EPIRB) dikesan dari kapal kargo MV Dai Cat 06 di kedudukan 30 batu nautika barat laut Pemangkat, Indonesia.
Isyarat kecemasan berkenaan dikesan oleh Malaysia Mission Control Centre (MYMCC) dan Police Operation Command Centre (POCC) Singapura.
Kapal berukuran 52 meter membawa 527 batang besi bernilai RM726,205.
Kapal MV Dai Cat 06 dikendalikan lima kru termasuk tiga warga tempatan dan dua kru warganegara Indonesia berusia 20 hingga 57 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!