Bukan mudah tumbangkan Harimau Malaya
TIDAK semudah perlawanan pertama.
Itu gambaran pengendali Thailand, Alexandre Polking selepas kemenangan 3-0 ke atas Malaysia dalam aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2022 di Stadium Thammasat pada Selasa.
Polking berkata, pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon meletakkan ramai pemain di bahagian tengah, sekali gus memberikan kesukaran kepada Gajah Perang.
“Aksi hari ini lebih sukar daripada perlawanan (separuh akhir) pertama (di Stadium Nasional Bukit Jalil). Ini kerana pada perlawanan pertama, kami dapat mengawal semuanya.
“Malaysia mempunyai rancangan untuk meletakkan ramai pemain di bahagian tengah, jadi ia tidak semudah pada perlawanan pertama.
“Tetapi kami melakukan kerja yang baik dan menjaringkan gol. Saya harus memberikan pujian kepada pemain atas usaha mereka hari ini,” katanya pada sidang akhbar.
Kemenangan secara agregat 3-1 ke atas Malaysia itu menyaksikan Thailand bakal menempah pertemuan menentang Vietnam dalam aksi final yang turut diadakan secara timbal balik.
Thailand yang juga penyandang juara akan berkunjung ke Stadium My Dinh, Hanoi pada Jumaat ini sebelum menanti kunjungan skuad Naga Emas itu di Bangkok tiga hari kemudian.
Mengulas peluang Thailand dalam aksi final nanti, Polking mengakui Vietnam mempunyai banyak kelebihan terutamanya apabila terlebih dahulu beraksi di laman sendiri.
“Dua perlawanan di tempat lawan sebelum ini, saya harap ia menjadi pengajaran buat kami.
"Di Bukit Jalil contohnya, kami telah menunjukkan kami boleh bermain baik, cuma tidak berpeluang menjaringkan gol.
“Saya berharap perlawanan akhir pertama di Hanoi nanti, kami tidak melakukan kesilapan dan cuba mencari gol sebelum bermain di tempat sendiri,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!