Mangsa banjir di Pahang terima bantuan RM1,000

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang akan menyalurkan Bantuan Wang Ihsan RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang terlibat dalam kejadian banjir baru-baru ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan dibuat dan dipersetujui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang bermesyuarat pada Rabu.

Menurutnya, bantuan itu akan disalurkan kepada 802 KIR yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) selewat-lewatnya pada 16 Februari depan.

"Bantuan tersebut merupakan peruntukan awal RM1 juta yang disalurkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang," katanya melalui satu kenyataan pada Rabu.

Wan Rosdy berkata, tujuh daerah di negeri ini yang terlibat dengan kejadian banjir sepanjang tempoh Monsun Timur Laut baru-baru ini ialah Lipis, Jerantut, Raub, Temerloh, Bera, Kuantan dan Pekan.

"Penerima yang menerima Bantuan Wang Ihsan ini diharapkan agar menggunakan sumbangan itu sebaik mungkin terutama bagi membeli barang keperluan dan perkakasan rumah.

"Sumbangan kerajaan negeri ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban ditanggung mangsa banjir," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!