Diperdaya sindiket 'parcel scam'

Noorzainy
Noorzainy
A
A
A

KEPALA BATAS - Kerana terlalu mudah percaya dengan kata-kata manis seorang lelaki yang dikenali di laman sosial, seorang peniaga online kerugian RM41,500 akibat terpedaya dengan sindiket 'parcel scam' atau penipuan kiriman bungkusan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa yang berusia 27 tahun dikatakan berkenalan dengan lelaki berkenaan di Instagram yang memperkenalkan diri sebagai James Mason Wung pada hujung Mac lalu.

Menurutnya, selepas beberapa hari berkenalan, lelaki berkenaan memberitahu dia menghantar hadiah istimewa sebagai salam perkenalan serta meraikan hubungan mereka.

Noorzainy berkata, beberapa hari kemudian mangsa dihubungi oleh seorang wanita yang kononnya daripada syarikat penghantaran barang yang memaklumkan barangan berkenaan sudah sampai di Kuala Lumpur.

"Wanita itu memberitahu untuk mengambil barangan tersebut mangsa perlu membayar caj kerana melebihi berat berjumlah RM3,000 dan tanpa berfikir panjang mangsa memasukkan wang berkenaan ke satu akaun bank diberikan.

"Tidak lama kemudian wanita berkenaan menghubungi lagi mangsa memaklumkan terdapat wang dalam bungkusan dan perlu membayar cukai barang dan perkhidmatan (GST) berjumlah RM2,000 untuk mendapatkannya," katanya ketika dihubungi di sini.

Tanpa membuat semakan, Noorzainy berkata, mangsa terus memasukkan wang berkenaan ke dalam akuan yang diberikan sebelum ini dan suspek dikatakan sekali lagi meminta mangsa membuat bayaran berjumlah RM3,000 untuk menutup mulut pekerja kerana terdapat wang yang sangat banyak di dalam parcel yang dihantar kepadanya.

Katanya, mangsa memasukkan wang ke dalam dua akaun berbeza sebanyak 11 transaksi sehingga berjumlah RM41,500 atas pelbagai alasan namun menyedari telah ditipu selepas lelaki berkenaan gagal dihubungi.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan awal mendapati mangsa meminjam wang daripada kedua ibu bapanya selain mengeluarkan wang simpanan Tabung Haji untuk membayar wang yang diminta suspek.

"Kini kita dalam usaha mengenal pasti identiti pemilik akaun bank berkenaan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!