Perhilitan pantau kehadiran buaya di pantai Labuan

Perhilitan melepaskan tembakan ke udara untuk menghalau reptilia itu jauh dari pantai. - Foto 123RF
Perhilitan melepaskan tembakan ke udara untuk menghalau reptilia itu jauh dari pantai. - Foto 123RF
A
A
A

LABUAN - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Labuan akan terus membuat pemantauan di semua pantai di pulau ini berikutan penemuan buaya baru-baru ini.

Ketuanya, Welter Siringon berkata, satu daripada kaedah yang dilaksanakan melepaskan tembakan ke udara untuk menghalau reptilia itu jauh dari pantai.

"Sebelum ini ia dilakukan di jeti LKIM Kiamsam apabila seekor buaya dikesan berhampiran jeti, kami akan terus memantau semua pantai di pulau ini,” katanya kepada Bernama pada Rabu.

Welter berkata, ia bukan tugas yang mudah untuk memastikan seluruh pantai Labuan bebas daripada kehadiran buaya.

"Mungkin bukan ada seekor sahaja buaya, tetapi mungkin ada tiga atau empat dan reptilia ini akan datang dan pergi.

"Berdasarkan pemantauan kami, laluan buaya ini adalah dari perairan Sabah ke Labuan dan kembali semula ke Sabah dan apabila kami melepaskan tembakan, sukar bagi kami untuk memberi jaminan reptilia ini tidak akan kembali,” katanya.

Welter berkata, usaha lain yang dijalankan memasang papan tanda amaran ancaman buaya di hampir semua pantai di pulau itu dengan kerjasama Perbadanan Labuan.

"Kami telah menempatkan reptilia ini di dua kawasan hutan paya bakau Kina Benuwa selain pantai Sawangan Cina dan Pusat Kokurikulum Negeri Kg Ganggarak serta akan turut ditempatkan di kawasan lain,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Welter mengingatkan orang ramai agar berhati-hati ketika berkelah di pantai terutama bersama kanak-kanak. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!