Projek di Cameron Highlands dipantau ketat

Nik Nazmi
Nik Nazmi
A
A
A

SHAH ALAM - Kejadian tiga banjir lumpur dan tanah runtuh yang berlaku di perumahan pekan Kampung Raja, Pahang pada Ogos, November dan Disember tahun lalu berpunca daripada aktiviti kerja tanah pertanian.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Negeri Pahang telah menerima surat permohonan ulasan penilaian tapak daripada Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands (PDTCH) selepas berlakunya kejadian pertama banjir lumpur di kawasan itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati bahawa kejadian banjir lumpur disyaki berpunca daripada aktiviti kerja tanah pertanian berhampiran kawasan tersebut.

Jelasnya, berdasarkan rekod JMG, kawasan tersebut diberikan penarafan bahaya tanah runtuh tahap sederhana-tinggi.

"Ini diburukkan lagi dengan kerja-kerja tanah yang tidak mengikut amalan terbaik dan menyumbang kepada kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur kepada kawasan tadahan di bawah di mana terdapat penempatan penduduk," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kementeriannya segera bertindak melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong seperti yang disiarkan di laman sesawang sebuah portal berita pada 7 Januari lalu.

"Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga telah menjalankan siasatan terhadap projek yang menyebabkan banjir lumpur di kawasan tersebut pada 20 Disember 2022.

"Siasatan mendapati pemaju projek tidak menjalankan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan tidak memohon kelulusan Laporan EIA, sedangkan perlu mendapat kelulusan sebelum sebarang kerja dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Kelulusan laporan EIA merupakan input penting dalam proses perancangan dan keputusan kelulusan sesuatu projek oleh pihak berkuasa. Dalam hal ini, projek telah diluluskan tanpa EIA dan penglibatan JAS," katanya.

Nik Nazmi berkata, JAS telah mengambil tindakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 iaitu mengeluarkan Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 untuk memberhentikan kerja-kerja di tapak sehingga kelulusan Laporan EIA diperoleh.

“Pemaju juga telah diarahkan untuk melaksanakan langkah-langkah remedi bagi mengelakkan banjir lumpur.

“Kertas siasatan bagi kes ini juga sedang disiapkan bagi tujuan pendakwaan di mahkamah.

“Siasatan JAS terhadap projek-projek pembangunan di kawasan Cameron Highlands mendapati terdapat 16 projek yang tertakluk kepada Perintah EIA 2015 dan telah mendapat kelulusan,” katanya.

Menurutnya, projek-projek ini kini dalam pemantauan berkala JAS iaitu 10 projek belum mula, satu telah beroperasi dan masih ada kerja pembinaan, serta lima lagi dalam pelaksanaan kerja tanah.

“JAS juga telah menerbitkan kaedah mengenal pasti remedi secara lebih berkesan melalui Penilaian Impak Dari Udara (Aerial Impact Assessment – AIA) dan Pelan Tindakan Pembaikpulihan Segera (Immediate Remedial Action Plan – IRAP).

“Dalam pada itu, Pengarah Penyelarasan dan Operasi JMG akan mengetuai pasukan pemantau cerun dibantu oleh JMG Negeri Pahang untuk memantau keadaan tapak semasa bagi menilai tahap risiko berlakunya bencana tanah runtuh susulan aktiviti kerja tanah pertanian berhampiran kawasan tersebut termasuk kerja-kerja mitigasi di kawasan tersebut.

Katanya lagi, sebagai langkah tambahan, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan mencadangkan penubuhan satu pasukan pemantauan khas yang terdiri daripada pelbagai agensi diketuai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Pahang bagi melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan secara berkala di lapangan.

"Penubuhan pasukan khas ini juga dijangka dapat memastikan sebarang projek yang tertakluk kepada keperluan EIA mendapat kelulusan Laporan EIA daripada JAS terlebih dahulu sebelum diluluskan dan juga penilaian bahaya dan risiko tanah runtuh oleh JMG sebelum pelaksanaan oleh agensi-agensi berkenaan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!