Zahid ajak ahli UMNO bina semula parti selepas rebah PRU15
KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu mengajak ahli parti itu untuk bersama-sama membina semula gerakan parti, selepas keputusan hambar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, yakin parti itu mampu bangkit setelah rebah pada PRU15 dengan berbekalkan semangat musyawarah dan keikhlasan.
Menerusi catatan di Facebook rasmi beliau selepas Taklimat Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini pada Rabu, Ahmad Zahid juga menekankan bahawa sebarang perubahan serta pembaharuan yang akan dilaksanakan, perlu dibincangkan secara berjemaah.
"Alhamdulilah saya amat terharu melihat ramai perwakilan yang sudah tiba di Dewan Merdeka, bagi satu sesi Taklimat Presiden UMNO.
"Ruang ini seluasnya, saya gunakan bagi meluahkan rasa, menzahirkan cerita dan menelusuri cabaran-cabaran yang saya hadapi, sepanjang menakhodai bahtera UMNO ini,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Taklimat Presiden secara tertutup selama dua jam bermula kira-kira jam 3 petang tadi, diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 bermula hari ini sehingga Sabtu.
Seramai 2,822 perwakilan dan pemerhati hadir ke perhimpunan kali ini, sementara 1,117 perwakilan ke Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita; 1,146 Pemuda dan 1,113 ke Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri, yang akan dirasmikan secara serentak oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, malam ini. - Bernama
Ikuti perkembangan semasa mengenai Perhimpunan Agung UMNO 2022 di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!