Sokong Perlembagaan Persekutuan edisi BM versi muktamad
SHAH ALAM - Pemuda Pas menyokong penuh cadangan Peguam Negara agar kerajaan menjadikan Perlembagaan Persekutuan edisi bahasa Melayu sebagai versi muktamad, kata Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari.
Beliau berkata, tindakan itu selaras dengan Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa sekiranya terdapat percanggahan atau perselisihan antara teks bahasa kebangsaan dan Bahasa Inggeris, maka teks bahasa kebangsaan sepatutnya mengatasi teks Bahasa Inggeris.
“Tambahan pula, teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa kebangsaan telahpun wujud dan telah dilancarkan oleh Yang di-Pertuan Agong semenjak 2003 lagi.
“Maka, ini bukan lagi persoalan terjemahan. Ini soal perlaksanaan agar menjadikan teks Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa Malaysia sebagai versi muktamad yang akan dirujuk oleh semua,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, pelaksanaan ini adalah suatu tindakan yang baik dan wajar disambut oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia. Usaha ini selari dengan pemerkasaan bahasa kebangsaan yang menjadi sebahagian daripada identiti negara.
“Usaha ini sedikit sebanyak dapat menjernihkan lagi kekeliruan yang berlaku di mahkamah, memberi penafsiran yang lebih tepat terhadap peruntukan Perlembagaan, serta tidak mengenepikan semangat sebenar Perlembagaan Persekutuan yang mengangkat Islam sebagai agama Persekutuan, serta aspirasi perjanjian sosial yang sudah lama termeterai.
“Pemuda Pas menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar memberikan sokongan penuh kepada usaha yang baik ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!