Bomba selamatkan enam mangsa terperangkap banjir

Pasukan bomba mendukung seorang kanak-kanak untuk menyeberangi sungai selepas jambatan menghubungkan rumah mereka terputus. - Foto ihsan Bomba Perak
Pasukan bomba mendukung seorang kanak-kanak untuk menyeberangi sungai selepas jambatan menghubungkan rumah mereka terputus. - Foto ihsan Bomba Perak
A
A
A

KAMPAR - Tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan enam individu yang terperangkap dalam banjir kilat di Kampung Sahom di sini pada Rabu.

Kesemua mangsa termasuk dua kanak-kanak perempuan berusia dua dan tiga tahun dibawa keluar ke kawasan selamat selepas jambatan yang menghubungkan rumah mereka terputus.

Penolong Pengarah Bahagian Latihan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sepasukan 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar serta Gopeng bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 6.24 petang.

"Paras air Sungai Rias naik mendadak hingga mencatatkan setinggi tujuh meter akibat hujan lebat.

"Keadaan itu menyebabkan 10 rumah penduduk berhampiran dinaiki air. Namun, sebuah rumah dihuni tiga wanita, seorang remaja lelaki dan dua kanak-kanak perempuan terkandas selepas jambatan yang menghubungkan jalan utama terputus," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, proses membawa keluar mangsa dilakukan dengan menggunakan tali dan personal floating devices (PFD) untuk menyeberangi sungai.

"Kesemua mangsa berjaya diselamatkan. Seramai 60 penduduk ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sahom.

"Ketika ini paras air sungai mulai surut, namun empat anggota ditempatkan ke lokasi kejadian sebagai langkah berjaga-jaga. Operasi tamat sekitar jam 8 malam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!