Pelarian Syria terdesak dapatkan bantuan perubatan
IDLIB (Syria) - Jutaan pelarian perang di Syria terutamanya kanak-kanak dan ibu mengandung dalam keadaan amat terdesak untuk mendapatkan bantuan ubat-ubatan terutama yang melibatkan penyakit kolera (penyakit bawaan makanan dan air) serta suplemen vitamin.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Dr Ahmad Sani Araby Al Kahery berkata walaupun pihaknya telah menggerakkan Ambulans Wakaf Mapim Malaysia dibantu pasukan doktor sukarelawan agensi perubatan Turki, Shifa El Amal melalui kerjasama sejak empat tahun dahulu, namun ia masih tidak mencukupi bagi menangani semua kes kecemasan serta keperluan kesihatan pelarian di sekitar Syria.
"Terdapat lebih enam juta pelarian terkandas dan jumlahnya semakin bertambah saban hari, yang tiga Ambulans Wakaf Mapim Malaysia sedia ada masih tidak mencukupi untuk menangani semua kes kecemasan dan keperluan kesihatan pelarian di sini terutama melibatkan bantuan ubat-ubatan penyakit kolera dan suplemen vitamin bagi kegunaan ibu-ibu mengandung.
"Perkhidmatan ambulans kami ini setakat ini hanya ada sekitar empat ke lima orang doktor sukarelawan Shifa El Amal bagi satu-satu masa yang antara perkhidmatan ditawarkan ialah rawatan kecemasan apabila situasi memerlukan dan program klinik bergerak ke sekitar kem-kem pelarian pada setiap hujung minggu," katanya kepada Bernama ketika delegasi Mapim melawat kem Al Khair di daerah Bir Hassan bagi menyerahkan barangan bantuan kepada pelarian di sini, hari ini
Untuk rekod, Sani Araby berkata sebelum ini jumlah Ambulans Wakaf Mapim Malaysia ialah tujuh namun dua daripadanya diletakkan di Gaza, Palestin bagi membantu keperluan pelarian perang di sana, manakala dua lagi telah dibedil bom rejim beberapa tahun dahulu dan telah mengorbankan mereka yang berada di dalamnya.
"Rakyat Malaysia perlu terus menyalurkan bantuan berupa wang ringgit ke tabung Misi Bantuan Kemanusiaan Rescue Syria melalui www.tabungsyria.com atau Maybank 5628-3463-6987 (Syria Emergency Appeal) kerana kita melihat adanya keperluan untuk menambah bekalan ubat-ubatan dan juga jumlah Ambulans Wakaf Mapim sedia ada, agar kita dapat terus menambah baik perkhidmatan kepada pelarian di negara ini," kata Sani Araby.
Dalam pada itu, salah seorang doktor Shifa El Amal yang mahu dikenali sebagai Dr Yusuf berkata jumlah ahli pasukannya yang kecil serta bekalan ubat-ubatan yang terhad antara cabaran terbesar bagi menyantuni keperluan pelarian yang sakit dan memerlukan rundingan perubatan.
“Selain kes kolera yang merupakan kes paling tinggi dihidapi pelarian di sekitar sini dan juga keperluan bantuan suplemen vitamin untuk ibu mengandung, pasukan doktor kami turut mengalami kesukaran dari segi tenaga manusia dan juga bekalan ubat yang terhad kerana setiap kali kami singgah di sesebuah kem, terdapat sekurang-kurangnya 500 orang dengan pelbagai keperluan mendesak mengikut penyakit yang dihidapi mereka.
“Namun, pihak kami mengucapkan jutaan terima kasih buat Mapim yang telah membekalkan tiga ambulans untuk pasukan kami masuk ke kem-kem pelarian dan juga rakyat Malaysia yang menyalurkan sumbangan wang yang banyak membantu memudahkan urusan kami di sini dari segi pembelian bekalan ubat-ubatan,” katanya ketika ditemui di kem Al Khair. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!