'Urus Chelsea kerja paling sukar'
PENGENDALI Chelsea, Graham Potter percaya mengurus pasukan itu adalah kerja paling sukar pernah dilakukannya kerana beberapa faktor seperti perubahan pemilikan dan sasaran tinggi kelab itu.
Potter yang dilantik untuk mengendalikan Chelsea pada September tahun lalu sedang bergelut untuk memulihkan pasukan itu yang kini di kedudukan ke-10 Liga Perdana Inggeris (EPL).
The Blues hanya memenangi satu daripada lapan perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan dan penyokong mahu dia dipecat dan digantikan semula dengan Thomas Tuchel.
Pengambilalihan kelab oleh Todd Boehly daripada Roman Abramovich telah membawa kepada rombakan yang ketara di Chelsea dan Potter menyifatkan cabaran tersebut sebagai punca kemerosotan kelab.
"Kami perlu menanganinya dan kami perlu membina semula pasukan kerana banyak perkara telah berubah. Itu adalah sebahagian daripada cabaran untuk datang (ke sini).
"Saya faham ia akan menjadi sangat sukar. Saya hanya berfikir dari perspektif kepimpinan, ia menarik, mencabar dan sangat sukar.
"Saya fikir, ini mungkin kerja yang paling sukar dalam bola sepak kerana perubahan kepimpinan itu dan kerana jangkaan Chelsea adalah pasukan yang kuat," katanya.
Potter berkata, dia mesti mengambil tanggungjawab itu dan percaya mampu membawa Chelsea kembali ke landasan kemenangan.
"Apa yang boleh saya lakukan ialah membantu, bercakap dengan jujur, memberi anda perspektif saya dan kemudian memahami kritikan. Ia akan membantu pasukan bangkit," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!