Wanita UMNO tuntut dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan
KUALA LUMPUR - Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad menggesa ahli memberi sokongan kepada Presiden dan Timbalan Presiden parti untuk memulih serta memperkasakan UMNO demi survival politik parti.
Justeru Noraini menuntut agar kedua-dua jawatan tersebut tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.
“Melihat kepada apa yang sedang berlaku dalam parti dan situasi politik semasa, sudah tiba masanya untuk kita bersama-sama dengan kepimpinan yang ada, bangkit memulihkan kekuatan parti dan keyakinan rakyat. Membawa UMNO kembali ke landasan perjuangan yang hakiki.
“Kita harus bersatu hati menerima keputusan kepimpinan dalam merancang strategi kerjasama politik antara parti dan istiqamah dalam perjuangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Wanita sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Khamis.
Sebelum ini media melaporkan, 140 Ketua UMNO Bahagian turut sebulat suara tidak mahu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti dipertandingkan pada pemilihan berkenaan.
Dalam pada itu beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong turut menegaskan, proses pemulihan UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu dilakukan segera bagi memastikan kedua-duanya kembali bangkit.
“Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) wajar dijadikan iktibar untuk menilai kelemahan, memperbaiki dan merancang strategi yang lebih berkesan, seterusnya kembali bangkit bagi meraih kepercayaan rakyat untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di beberapa negeri kelak.
“Kita perlu bersatu hati dalam usaha membina negara bangsa yang lebih utuh dan mapan, bukannya bertelagah sesama kita.
“Kita juga perlu mengambil langkah untuk memperbaiki imej parti supaya lebih diterima rakyat. Politik khidmat sahaja tidak lagi boleh menjamin kemenangan kepada calon yang bertanding,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!