Puteri UMNO turut desak ambil tindakan terhadap pengkhianat

Zahida ketika memberi ucapan dasar Ketua Puteri UMNO sempena PAU 2022 di WTCKL, pada Khamis.
Zahida ketika memberi ucapan dasar Ketua Puteri UMNO sempena PAU 2022 di WTCKL, pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas gesaan sayap Pemuda, Puteri UMNO turut mendesak agar tindakan segera diambil terhadap ahli yang terbukti cuba memusnahkan parti.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan menegaskan, parti sama sekali tidak boleh bertolak ansur dengan pengkhianat sama ada ahli biasa atau yang memegang jawatan.

"Berparti pada adabnya, tiada tempat untuk mereka yang biadab terhadap parti.

"Pengkhianat parti adalah seperti barah, jika tidak dipotong dia akan merebak dan merosakkan seluruh sistem tubuh yang bernama UMNO.

"Kita kena sanggup sakit dibedah hari ini daripada kita menderita di peringkat lima yang akan memusnahkan seluruh tubuh badan kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa, penubuhan akademi atau institut UMNO perlu dilaksanakan segera untuk melahirkan lebih ramai pemimpin yang dapat menyumbang idea yang baharu dan bernas.

Ujarnya, membina disiplin parti merupakan sebahagian daripada tuntutan yang perlu diberi penegasan dalam gerak kerja akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Kita perlu mengkaji semula apakah keperluan UMNO terus menjadi parti massa yang mengejar jumlah keahlian yang besar, atau lebih baik menjadi parti kecil tetapi digerakkan oleh kader yang tekun, bijak dan berdisiplin.

"UMNO mesti dilihat sebagai kilang melahirkan pemimpin, tetapi konsep kepimpinan berasaskan akar umbi perlu dibuat semakan semula.

"Sebab itulah kita perlu ulangi, akademi atau institusi UMNO perlu ditubuhkan segera. Ini bukan idea baharu. Sudah lama diperkatakan dan sudah ramai dipertanggungjawabkan namun hingga kini belum berjalan.

"Sebab apa? Sebab masih ramai menganggap kepimpinan UMNO hanya datang secara semula jadi, hasil lonjakan daripada sistem lama kita yang semakin lama pasti akan menjadi lapuk dan tidak sesuai lagi untuk masa akan datang," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!