Peniaga lepas tanpa bebas hantar komunikasi jelik kepada Najib, Rosmah
KUALA LUMPUR - Seorang peniaga dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas satu pertuduhan membuat dan menghantar komunikasi jelik terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, sembilan tahun lalu.
Hakim Nor Hasniah Ab Razak memutuskan demikian selepas membenarkan bantahan awal peguam, Rajsurian Pillai yang mewakili Syed Ahmad Saifullah Hashim, 34, selaku Orang Kena Saman (OKS).
“Mahkamah melepas tanpa membebaskan OKS daripada pertuduhan selepas mendapati pertuduhan tersebut adalah cacat dan tidak berasas,” katanya.
Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal.
Pada 21 Julai tahun lalu, Syed Ahmad Saifullah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memuat naik satu kiriman berhubung ‘pesawat yang dinaiki isteri dan PM dalam perjalanan pulang dari Perth telah hilang dari radar dan dijumpai terhempas di Lautan Sumatera Selatan. Al-Fatihah' melalui aplikasi Facebook Syed Saifullah.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu dengan niat menyakitkan hati orang lain antara 2 dan 4 April 2014 dan hantaran itu kemudiannya dibaca pada 11.35 malam di sebuah premis, di Plaza Pekeliling Jalan Kampar, Off Jalan Ipoh, Sentul di sini pada 4 April tahun sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya selain denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!