JKM Kelantan terima peruntukan tambahan RM1 juta

Said (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan beg sekolah kepada pelajar pada Majlis Penyerahan Bantuan Pasca Banjir sempena Program Kembali Ke Sekolah 2023 di SMU Nurul Huda pada Khamis. - Foto Bernama
Said (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan beg sekolah kepada pelajar pada Majlis Penyerahan Bantuan Pasca Banjir sempena Program Kembali Ke Sekolah 2023 di SMU Nurul Huda pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

TUMPAT - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan menerima peruntukan tambahan RM1 juta sebagai persiapan menghadapi gelombang banjir seterusnya di negeri itu.

Pengarah JKM Kelantan, Said Sidup berkata, peruntukan itu bertujuan untuk pembelian tambahan barangan keperluan asas di 158 pangkalan hadapan.

Katanya, peruntukan itu adalah sebagai persiapan awal sekiranya berlaku gelombang banjir seterusnya berikutan musim Monson Timur Laut dijangka hanya berakhir pada Mac ini.

"Selepas berakhirnya banjir pada 28 Disember lepas, kita terus isi bekalan barangan keperluan asas di pangkalan hadapan kita.

"Kita buat pembelian darurat mana-mana peralatan asas yang sudah kehabisan dan berkurangan kerana telah diagihkan sebelum ini seperti toto, sardin dan makanan keperluan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Pascabanjir Sempena Program Kembali Ke Sekolah 2023 di Sekolah Menengah Ugama (SMU) Arab (A) Nurul Huda, Kajang Sebidang, di sini pada Khamis.

Seramai 463 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bendang Pak Yong, SMU (A) Nurul Huda Kajang Sebidang (323) dan SK Telok Jering (368) menerima bantuan hasil sumbangan Yayasan Sime Darby.

Turut hadir Ketua Projek Yayasan Sime Darby Muzdalifah Mohd Nasir. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!