KPDN akan siasat punca sebenar caj tersembunyi jualan telur

Fuziah (dua dari kanan) melawat reruai jualan barangan harian bersempena Karnival Jualan Rahmah di Kompleks Belia dan Sukan Alor Setar di Jalan Stadium, pada Khamis.
Fuziah (dua dari kanan) melawat reruai jualan barangan harian bersempena Karnival Jualan Rahmah di Kompleks Belia dan Sukan Alor Setar di Jalan Stadium, pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melakukan siasatan terperinci bagi mencari punca sebenar peruncit mengenakan caj tersembunyi ke atas penjualan telur ayam.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, ia berikutan maklumat awal diterima mengatakan peruncit terpaksa mengenakan kos tersebut kepada pembeli kerana mereka perlu menanggung kos yang tinggi.

Beliau berkata, bagaimanapun, peniaga tidak kira sama ada kedai runcit ataupun besar tidak sepatutnya meletakkan caj tambahan memandangkan telur ayam berada di bawah harga kawalan.

"Macam ni, apabila kita ada harga kawalan (maka) tidak kiralah yang meniaga itu kedai-kedai runcit kah, kedai besar kah, ia (harga kawalan) terpakai.

"Akan tetapi, kita juga ambil maklum bahawa ada sesetengah kedai (yang mana) peruncit sendiri terima harga (tinggi) itu, harga jualan yang sudah tetapkan untuk jualan.

"Jadi, siasatan sedang dilakukan dan kita nak tengok (Pengarah Penguatkuasa KPDN), Azman Adam bertanggungjawab untuk siasat dan kita nak tengok di lapisan mana yang ambil (caj) lebih itu," katanya.

Fuziah berkata, ia memandangkan peruncit masih mampu meraih keuntungan dengan harga kawalan telur ayam yang ditetapkan kerajaan sebelum ini.

Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas kes peruncit diberikan notis berikutan mengenakan caj tambahan ke atas penjualan telur ayam di sekitar daerah Kubang Pasu, pada Isnin lepas.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Fuziah melancarkan Aduan Suri dan Peremajaan Semula Aduan KPDN 'Aduan Suri' bersempena Karnival Jualan Rahmah di Kompleks Belia dan Sukan Alor Setar di Jalan Stadium, di sini, pada Khamis.

Jelas beliau, kes caj tersembunyi ke atas penjualan tersembunyi yang berlaku sedang dalam siasatan namun ia sepatutnya tidak dibenarkan berlaku.

"Namun, sebenarnya kita pun tidak menyalahkan peruncit sebab sekiranya masalah dia (adalah) hendak dapatkan bekalan dan membeli (telur) itu dengan harga jualan.

"Kita telah dapati ada beberapa kes sebegini, jadi kita pun hendak tengoklah dari segi dia punya bekalan tu di peringkat mana yang kita boleh perbaik,"katanya.

Dalam perkembangan sama, Fuziah menyatakan, KPDN merupakan sekretariat yang sentiasa terlibat dengan kementerian lain dalam menangani isu berkaitan kos sara hidup.

Sebelum itu, jualan 16 barangan harian seperti beras,minyak, telur ayam dan ayam pada harga murah dalam Karnival Jualan Rahmah anjuran KPDN dan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti mendapat sambutan hangat penduduk setempat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!