Individu mahu cabar jawatan presiden disyor umum awal

Isham - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Isham - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatan presiden serta timbalan presiden UMNO terbuka untuk dipertandingkan dan mana-mana individu yang berhasrat untuk mencabar dua jawatan tertinggi itu turut disyorkan mengumumkannya lebih awal.

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, parti itu bersifat terbuka walaupun ada cadangan termasuk daripada 140 ketua UMNO bahagian supaya dua jawatan penting itu tidak dipertandingkan pada pemilihan Perhimpunan Agung UMNO yang dijangka Mei nanti.

"Secara peribadi saya terbuka untuk jawatan berkenaan dipertandingkan. Ada beberapa pihak kata kita tak bagi bertanding, itu tidak betul. Ia bagi menimbulkan rasa marah dan tak puas hati kepada kepimpinan tertinggi kita.

"Kita tiada halangan untuk sesiapa bertanding. Cuma saya juga mahu cadangkan kepada sesiapa yang nak bertanding, umumlah awal-awal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, pada Khamis.

Beliau berkata demikian letika diminta mengulas kenyataan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin supaya UMNO membuka ruang jawatan presiden untuk dipertandingkan bagi mengekalkan demokrasi dalam parti politik Melayu tersebut.

Menerusi Instagramnya, Khairy berkata, Ahmad Zahid seorang pejuang dan tidak gentar menghadapi pencabar untuk merebut jawatan presiden parti.

Pada Rabu, seramaI 140 Ketua Bahagian UMNO seluruh negara menyatakan solidariti supaya jawatan presiden yang kini disandang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak dipertandingkan pada pemilihan parti itu nanti.

Artikel Berkaitan:

Mewakili kumpulan itu, Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah dilaporkan berkata, ketua-ketua bahagian itu turut bersepakat jawatan timbalan presiden juga tidak dipertandingkan.

Mengulas lanjut, Isham menjelaskan, ramai pihak termasuk sayap parti mencadangkan agar jawatan itu tidak dicabar bagi mengelak huru-hara di masa kritikal sekarang.

"Sekiranya ada yang mahu masuk (bertanding) terpulang kepada mereka. Tapi umum awal-awal jangan berselindung di sebalik gerak konco-konco.

"Kita cuma ada tiga hingga empat bulan lagi, siapa nak bertanding umum sekarang," ujarnya.

Katanya, PAU menjadi platform terbaik kepada mana-mana ahli untuk membuat pengumuman tersebut kerana perhimpunan berkenaan dihadiri perwakilan seluruh negara.

Ikuti perkembangan semasa mengenai Perhimpunan Agung UMNO 2022 di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!