Kapal kargo hilang: Maritim pantau perairan Kuching
JOHOR BAHRU - Maritime Rescue Control Centre (MRCC) Putrajaya mengarahkan Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching memantau perairan Kuching bagi mengesan kapal kargo Malaysia, MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang sejak 12 hari lalu.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, perkembangan tersebut dimaklumkan kepada MRSC Johor Bahru dalam usaha mengesan kapal kargo berkenaan.
"MRCC Putrajaya yang akan memaklumkan sekiranya ada sebarang penemuan dan perkembangan terkini mengenai kapal MV Dai Cat 06," katanya ringkas dalam kenyataan pada Khamis.
Pada Selasa Sinar Harian melaporkan kes kehilangan sebuah kapal kargo dari jeti Kampung Acheh, Perak ke Kuching, Sarawak pada 1 Januari lalu.
Kehilangan kapal kargo berkenaan terbongkar selepas ejen kapal membuat laporan polis pada Isnin.
Laporan mendakwa kapal kargo MV Dai Cat 06 keluar dari jeti Perak pada 23 Disember 2022 dan sepatutnya tiba di Kuching, Sarawak pada 31 Disember 2022.
Lokasi terakhir kapal itu dikesan menerusi sistem Automatic Identification System (AIS) adalah pada 1 Januari lalu di perairan Indonesia iaitu 0.2 batu nautika dari sempadan perairan negeri Johor.
Maklumat diperolehi pada 10.42 malam Isnin, suatu isyarat kecemasan Emergency Position Indicatior Radio Beacon (EPIRB) dikesan dari kapal kargo MV Dai Cat 06 di kedudukan 30 batu nautika barat laut Pemangkat, Indonesia.
Isyarat kecemasan berkenaan dikesan oleh Malaysia Mission Control Centre (MYMCC) dan Police Operation Command Centre (POCC) Singapura.
Kapal berukuran 52 meter membawa 527 batang besi paip bernilai RM726,205.
Kapal MV Dai Cat 06 dikendalikan lima kru termasuk tiga warga tempatan dan dua kru warganegara Indonesia berusia 20 hingga 57 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!