3,000 unit rumah pelbagai jenis di Darulaman Saujana

Muhammad Sanusi (tiga dari kanan) melihat replika Perbandaran Mampu Milik Darulaman Saujana yang akan dibangunkan di Jitra bermula pada suku ketiga 2023.
Muhammad Sanusi (tiga dari kanan) melihat replika Perbandaran Mampu Milik Darulaman Saujana yang akan dibangunkan di Jitra bermula pada suku ketiga 2023.
A
A
A

JITRA - Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) bakal membangunkan dua projek pembangunan iaitu Perbandaran Mampu Milik Darulaman Saujana dan Pelan Induk Pembangunan Bandar Darulaman 3.0 di daerah Kubang Pasu.

Pengerusi BDB, Che Had Dhali berkata, dua projek itu dijangka membawa lembaran baharu kepada daerah Kubang Pasu sekali gus merancakkan lagi pembangunan dan ekonomi negeri Kedah untuk tempoh lapan hingga 10 tahun akan datang.

Menurutnya, Perbandaran Darulaman Saujana bakal dibina di atas tanah seluas 83.49 hektar dan akan memfokuskan kepada pembangunan perumahan mampu milik serta perumahan Dasar Kerajaan Negeri Kedah, yang dijangka bermula pada suku ketiga 2023.

“Dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM 667.5 juta, hampir 3,000 unit rumah pelbagai jenis bakal dibina di Perbandaran Darulaman Saujana dan apabila siap kelak, ia dijangka mempunyai lebih daripada 14,000 penduduk,” katanya yang menyedari permintaan rumah mampu milik semakin meningkat terutamanya melibatkan golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) di negeri ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran Perbandaran Mampu Milik Darulaman Saujana dan Pelan Induk Bandar Darulaman 3.0, dekat sini pada Khamis.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Muhammad Sanusi (tiga dari kanan) merasmikan Majlis Pelancaran Perbandaran Mampu Milik Darulaman Saujana dan Pelan Induk Bandar Darulaman 3.0, di Jitra pada Khamis.
Muhammad Sanusi (tiga dari kanan) merasmikan Majlis Pelancaran Perbandaran Mampu Milik Darulaman Saujana dan Pelan Induk Bandar Darulaman 3.0, di Jitra pada Khamis.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Norizan Khazali; Exco Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman; Exco Perumahan Negeri, Dr Robert Ling Kui Ee; Pegawai Daerah Kubang Pasu, Muhamad Mahazi Ibrahim dan Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman.

Artikel Berkaitan:

Che Had berkata, antara komponen utama pembangunan Perbandaran Darulaman Saujana adalah pembinaan 1,438 unit rumah teres satu tingkat dan 192 unit rumah kluster berkembar satu tingkat yang akan dibina secara berfasa.

Menurutnya, Dasar Perumahan Negeri Kedah juga menjadi keutamaan yang mana Kumpulan BDB berhasrat membina 582 unit Rumah Kasih Rakyat dan 234 unit Rumah Aman Kedah dan 512 unit Rumah Makmur Kedah.

“Di samping itu, terdapat lot perniagaan yang terdiri daripada 21 unit kedai pejabat satu tingkat dan 30 unit kedai pejabat dua tingkat, serta dua lot tapak stesen minyak.

"Selain itu, kemudahan awam dan infrastruktur seperti tapak masjid, tapak sekolah, tapak dewan serbaguna, tapak tabika, padang permainan dan kemudahan landskap serta lokasi tumpuan riadah turut akan disediakan,” ujarnya.

Che Had juga menjelaskan Bandar Darulaman iaitu perbandaran pertama yang telah dibangunkan oleh Kumpulan BDB sejak tahun 1984 di atas tanah seluas 898.40 hektar akan menerima sebuah lagi rancangan pembangunan lapan tahun iaitu Bandar Darulaman 3.0.

Jelasnya, dengan anggaran nilai GDV keseluruhan berjumlah RM 740 juta, antara rancangan pembangunan Bandar Darulaman 3.0 adalah Dataran Darulaman, Darulaman Park dan Darulaman Hills.

Katanya, Kumpulan BDB meletakkan keyakinan penuh bahawa rancangan pembangunan itu bakal menjadikan ia sebuah perbandaran yang lebih moden dan maju.

“Fasa pertama pembangunan iaitu Dataran Darulaman akan melibatkan pembangunan di atas tanah seluas 1.65 hektar dengan empat buah bangunan komersial, setiap satunya berkeluasan 6,000 kaki per segi, termasuk sebuah menara korporat bakal dibina di Dataran Darulaman.

“Fasa kedua pembangunan pula akan menyaksikan transformasi keseluruhan Darulaman Park. Sebuah hab pembangunan bercampur di Bandar Darulaman akan dibangunkan di atas tanah seluas 35.25 hektar melibatkan pembinaan pusat membeli-belah, pangsapuri perkhidmatan 12 tingkat, pangsapuri 5 tingkat, pangsapuri 18 tingkat, rumah bandar 3 tingkat, dan hospital pakar, dengan kapasiti 100 buah katil.

“Fasa pembangunan terakhir adalah sebuah projek perumahan di Darulaman Hills dengan 262 unit rumah banglo 2 tingkat akan dibangunkan di atas tanah seluas 38.41 hektar yang berlatarkan kehijauan dan keindahan alam semula jadi serta menitikberatkan pengekalan bentuk muka bumi semula jadi,” katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!