Penjawat awam ditahan miliki cecair vape mengandungi dadah

Antara rampasan yang dibuat dalam serbuan terbabit. - Foto PDRM
Antara rampasan yang dibuat dalam serbuan terbabit. - Foto PDRM
A
A
A

TAMPIN - Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang penjawat awam selepas disyaki memiliki cecair (vape) yang mengandungi dadah jenis ketamin di Pasir Besar, di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, kesemua lelaki berusia lingkungan 18 hingga 30 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Tampin di sekitar Pasir Besar.

"Tangkapan pertama kira-kira jam 7.30 petang di sebuah kedai menjual alat rokok elektronik (vape) di kawasan itu melibatkan dua pekerja berusia 18 dan 23 tahun kerana memiliki cecair mengandungi dadah.

"Hasil pemeriksaan telah menjumpai lima botol kecil berwarna hitam yang disyaki mengandungi cecair dadah jenis ketamin anggaran isi padu 50 milimeter (ml).

"Seterusnya pada jam lebih kurang 8.30 malam, serbuan kedua dilakukan ke sebuah rumah di kawasan Felda Pasir Besar dan telah menahan lelaki berusia lingkungan 30 tahun yang merupakan pemilik kedai tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ujarnya, hasil pemeriksaan telah menjumpai 28 botol kecil disyaki mengandungi cecair dadah jenis ketamin dengan anggaran isi padu 280ml dengan anggaran rampasan keseluruhan bernilai RM6,800.

"Siasatan awal mendapati cecair vape tersebut dijual di sekitar Pekan Pasir Besar," katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari bermula Rabu dan kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua tangkapan akan dituduh di Mahkamah Majistret Tampin esok," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!