Kerajaan kekal pendirian kawal harga telur
ALOR SETAR - Kerajaan kekal dengan pendirian untuk mengekalkan harga telur di bawah harga kawalan dan tidak mengapungkannya.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, walaupun terdapat permintaan dari pihak yang berkaitan, namun kerajaan lebih berhasrat untuk mengawal harga telur buat masa ini.
"Dalam isu ini, dia ada dua perkara iaitu berkenaan bekalan dan keduanya berkenaan harga kawalan. Berkenaan bekalan kita dah di fasa terakhir bagi menstabilkan bekalan dan boleh dikatakan kita sudah sampai ke penghujung fasa dan agak stabil.
"Dari segi harga kawalan, setakat ini hasrat dan semangat yang ditunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri untuk mengawal harga telur, namun ia bukan selamanya sehingga ekonomi kita kembali pulih dan pengguna ada kuasa membeli.
"Setakat ini, kita masih berpegang pada pendirian untuk kekalkan apa yang ada sekarang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Aduan Suri dan Peremajaan Semula Saluran Aduan Kepenggunaan Kementerian Perdangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersempena Karnival Jualan Rahmah di sini pada Khamis. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!