Polis siasat anggota benarkan rakan pegang senjata api
JOHOR BAHRU - Polis telah menjalankan siasatan ke atas foto tular yang memaparkan seorang lelaki memegang senjata api milik seorang anggota polis yang juga rakannya.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, siasatan mendapati gambar berkenaan diambil di hadapan Balai Polis Taman Johor Jaya di sini pada jam 2.43 pagi pada Rabu.
Beliau berkata, gambar berkenaan kemudian tular dalam media sosial khususnya Twitter menerusi satu akaun bernama @evvok.
"Polis telah mengesan satu gambar tular memaparkan seorang lelaki berpakaian seragam polis sedang menghisap rokok bersama seorang orang awam yang sedang memegang senjata api milik anggota polis berkenaan.
"Orang awam yang merupakan rakan kepada anggota tersebut dilihat memegang senjata api jenis HK-MP5," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohd Sohaimi berkata, ketika gambar itu diambil, anggota berkenaan sedang bertugas di pos pengawal balai polis berkenaan.
"Siasatan mendapati anggota polis, orang awam yang memegang senjata api dan seorang lagi individu awam yang mengambil gambar berkenaan merupakan rakan dan semuanya berusia 25 tahun.
"Difahamkan, tujuan gambar tersebut diambil adalah sebagai kenang-kenangan, namun ianya telah dimuat naik ke dalam media sosial sehingga menjadi tular," jelasnya.
Katanya, tindakan anggota polis tersebut membenarkan orang awam memegang senjata api ketika bertugas adalah satu kesalahan yang melanggar tatakelakuan.
Jelasnya, siasatan lanjut sedang dijalankan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam.
"Anggota terlibat boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!