KPDN lancar SHMMP sempena Tahun Baharu Cina
ALOR SETAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2023 bagi perayaan Tahun Baharu Cina berkuat kuasa 15 hingga 29 Januari ini.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, SHMMP dilaksanakan selama 15 hari iaitu tujuh hari sebelum perayaan, hari perayaan dan tujuh hari selepas perayaan.
Menurutnya, pelaksanaan kawalan harga adalah bertujuan menstabilkan harga dan memastikan keberadaan bekalan di pasaran.
"Sekiranya skim ini tidak dilaksanakan, dijangka berlaku peningkatan harga disebabkan permintaan yang tinggi menjelang perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada 22 Januari ini.
"Maklumat daripada industri menunjukkan peningkatan harga disumbangkan oleh beberapa faktor seperti cuaca, peningkatan kos makanan ternakan, penyakit haiwan, kejatuhan kadar mata wang dan kadar minimum gaji pekerja," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang akhbar Pengumuman SHMMP 2023 di sebuah pasar raya di Bandar Baru Mergong di sini pada Khamis.
Hadir sama, Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh.
Salahuddin berkata, penetapan harga dibuat adalah berdasarkan maklum balas daripada pihak industri, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) serta agensi di bawahnya dan input dari Bahagian Harga Barang Negara.
Tambah beliau, KPDN mengenal pasti lapan jenis barangan diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP yang dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Antaranya, ikan bawal putih (berat antara 200 gram hingga 400 gram seekor); udang putih (berat antara 41 ekor hingga 60 ekor sekilogram); bawang putih (China); ubi kentang import (China) dan kobis bulat Import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing).
"Selain itu, babi hidup (kawalan di peringkat ladang sahaja), daging babi (perut) serta daging babi (daging dan lemak)," katanya.
Tambah beliau, harga maksimum barang-barang tersebut di peringkat runcit ditetapkan bagi ikan bawal putih ialah RM42, manakala udang putih (RM39); bawang putih (RM8.50 sekilogram); ubi kentang (RM4 sekilogram); kubis bulat (RM4); babi hidup kawalan peringkat ladang sahaja (RM15 sekilogram); daging babi bahagian perut (RM36 sekilogram) dan daging babi bahagian daging dan lemak (RM25).
"Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga yang ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan tersebut," katanya.
Menurut Salahuddin, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini, malah mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Dalam perkembangan lain, Salahuddin berkata, KPDN mendapati bekalan telur mencukupi di pasaran.
Bagaimanapun katanya, terdapat lokasi tertentu mengalami kekurangan telur melalui tinjauan KPDN terutamanya selepas pelancaran Ops Terjah.
Sehubungan itu, Salahuddin berkata, beliau telah meminta pegawai penguat kuasa membuat pemeriksaan serta-merta dan perkara itu boleh atasi KPDN dalam kadar segera.
Tambah beliau, orang awam yang berdepan dengan masalah bekalan telur ayam turut dinasihatkan membuat laporan terus bagi membolehkan tindakan segera diambil.
"Masalah bekalan telur dijangka hampir selesai dalam masa tiga bulan lagi hasil daripada mesyuarat pihak kementeriannya dengan MAFS," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!