PAU 2022: 'Buka gelanggang pemilihan, tawar semua jawatan'

Sebahagian perwakilan Pemuda UMNO hadir pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). - Foto Bernama
Sebahagian perwakilan Pemuda UMNO hadir pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO diharapkan akan mempertandingkan semua jawatan dalam parti itu sewaktu pemilihan yang perlu diadakan selewat-lewatnya Mei ini.

Ketika sesi perbahasan sewaktu Perhimpunan Agung Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO pada Khamis, beberapa perwakilan mahu ‘gelanggang’ pemilihan dibuka dan berpendapat pertandingan itu merupakan amalan demokrasi yang perlu diteruskan.

Jurucakap Pemuda UMNO Melaka, Fairul Nizam Roslan ketika melontarkan perkara itu yakin Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah seorang pemimpin berjiwa besar dan tidak akan menyekat amalan demokrasi dalam parti terbesar Melayu itu.

"Saya yakin jiwa besar Presiden. Kita tahu siapa yang menjaga parti kita sewaktu ditekan. Pemuda tahu siapa yang banyak berkorban untuk parti, Pemuda tahu siapa yang mengkhianati parti. Jangan gusar dan ragu, buka gelanggang (dan) Pemuda akan membuat pilihan yang tepat,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan itu ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Senada dengannya adalah jurucakap Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Muhammad Sufian Maradzi yang menggesa supaya tiada agenda digerakkan untuk tidak mempertandingkan jawatan-jawatan tertentu pada pemilihan nanti.

"Kami tetap setia kepada perjuangan parti, bahkan kami tak lari.

"Tetapi janganlah kita diikat supaya jangan adakan pemilihan kerana kami yakin sekiranya kepimpinan kita menjaga parti dengan betul, insya-ALLAH kepimpinan itu akan terus dipilih oleh perwakilan,” katanya.

Muhammad Sufian yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan berkata, selepas kekalahan teruk yang dialami UMNO dan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sudah tiba masanya UMNO mengubah corak perjalanan parti selari dengan kehendak orang ramai.

Artikel Berkaitan:

"Kita bukannya nakal, tapi ini pandangan kita. Biarlah kita suburkan demokrasi ini sebagaimana kita menyuburkan demokrasi berparlimen dalam negara kita sebab orang luar termasuk anak-anak muda akan tengok bagaimana perjuangan UMNO selepas PRU15,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Wanita UMNO Pahang, Datuk Juhanis Abd Aziz dalam perbahasan ucapan dasar Ketua Wanita, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad turut meminta supaya semua jawatan dipertandingkan dalam pemilihan UMNO kali ini.

Sebelum ini ada cadangan dua jawatan tertinggi - Presiden dan Timbalan Presiden UMNO, tidak dipertandingkan pada pemilihan nanti.

Namun Ahmad Zahid berkata, beliau terbuka untuk dicabar oleh sesiapa sahaja yang berhasrat untuk memegang jawatan nombor satu parti itu.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pula berkata, pertandingan bagi jawatan tertinggi parti sedikit sebanyak boleh menyebabkan perpecahan dalaman tetapi beliau terbuka untuk menerima cabaran daripada mana-mana pihak bagi mempertahankan jawatan itu.

Pada Perhimpunan Agung Khas UMNO 15 Mei tahun lepas, parti itu berjaya meminda perlembagaannya bagi membolehkan pemilihan diadakan tidak melebihi tempoh enam bulan selepas PRU di bawah Fasal 10.16. - Bernama

Ikuti perkembangan semasa mengenai Perhimpunan Agung UMNO 2022 di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!