PAU 2022: Wanita, Puteri mahu UMNO kaji strategi baharu
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] UMNO memerlukan strategi baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri memandangkan komposisi Kerajaan Perpaduan yang mempunyai gabungan dengan Pakatan Harapan (PH).
Beberapa Perwakilan Wanita dan Puteri berpandangan situasi gabungan dalam kerajaan kini merupakan satu cabaran dan asing bagi parti tersebut yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Perwakilan wanita dari Perak, Sabariah Zakaria berkata, kepimpinan UMNO perlu mulai membuat kajian struktur kemenangan pilihan raya bagi enam negeri itu berdasarkan keputusan PRU13, 14 dan 15.
"Cabarannya kali ini, kita bergabung dengan DAP, PKR dan Amanah yang agak asing bagi kita. Dan kita memerlukan strategi baharu bagi menghadapi enam PRN tahun ini.
"Dengan dapatan daripada kajian tersebut kita boleh merangka gerak kerja untuk PRN,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di sini pada Khamis.
Sabariah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Lumut berkata, kajian hendaklah dijalankan termasuk pengagihan kawasan dan penggunaan logo pada enam PRN tersebut.
"Kalau nak pakai satu logo saja, pakailah logo Barisan Nasional. Kerana itu logo yang paling universal dan versatile yang mewakili semua kaum di Malaysia. Kalau perlu pakai logo masing-masing, maka pakai logo masing-masing dengan perjanjian bahawa pada akhirnya kita bergabung bersama satu pakatan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Temerloh, Datuk Juhanis Abd Aziz melontarkan pandangan supaya wakil rakyat di kawasan putih yang terbukti memberikan perkhidmatan terbaik tidak ditukar dengan calon lain, sebaliknya dikekalkan.
Beliau berkata, penukaran calon lebih-lebih lagi jika tidak dikenali dikhuatiri sukar untuk memenangi kawasan ditandingi tambahan lagi jika sekiranya ditempatkan di kawasan yang sukar dimenangi.
Wakil UMNO Siswa, Siti Jamila Syuhada Jailani pula berkata, sentimen nasional hari ini sudah berbeza dan UMNO tidak lagi boleh mengharapkan dengan mekanisme turun ke padang, rakyat akan memilih parti itu.
"Hari ini, medan perang sudah berbeza. Landskap politik kita sudah berbeza. Kita tidak lagi pasti yang mana penyokong yang mana pembohong.
"Mereka ini, boleh diibaratkan sebagai musuh dalam selimut kita. Mereka mungkin senyum bersama namun di hati, di media sosial, menyebarkan fitnah-fitnah dan dakyah-dakyah untuk menjatuhkan parti kita,” katanya.
Justeru katanya, pimpinan UMNO hari ini juga perlu lebih terbuka untuk melabur sedikit wang untuk membuat penyelidikan yang tulus dan segera bagi persediaan sebelum pilihan raya akan datang.
Ketua Puteri UMNO Bahagian Langkawi, Ummi Kalsom Abdul Muthalib ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, parti itu harus memberikan nafas baharu kerana cabaran politik kini jauh berbeza terutama melibatkan pengundi muda dengan melakukan rejuvenasi terhadap UMNO.
"Sudah pasti tahun hadapan dan seterusnya akan bertambah lagi pengundi muda. UMNO perlu mengikut peredaran zaman dan tidak perlu lagi bersandarkan pada kegemilangan sejarah budi dan jasa UMNO,” katanya.
Ummi Kalsom berkata, UMNO perlu menguasai media sosial kerana anak muda hanya mengenali parti politik melalui jaringan tersebut dan melihat pada PRU15, parti itu masih gagal menguasai sepenuhnya platform berkenaan.
"Kalau kita tidak menggunakan sebaik-baiknya media sosial, pasti kita akan ketinggalan pada PRU16 dan seterusnya. Maka dengan ini kita perlu ambil iktibar bahawa media sosial adalah sangat penting,” katanya.
Ikuti perkembangan semasa mengenai Perhimpunan Agung UMNO 2022 di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!