PAU 2022: Nilai, ubah semula had undi 18 tahun
KUALA LUMPUR - Wanita UMNO Kedah menyarankan agar wakil parti yang berada dalam kerajaan menilai dan mengubah semula had umur mengundi 18 tahun.
Ketua Wanita UMNO Bahagian Jerai, Datuk Norma Awang berkata, ini kerana tahap kematangan golongan muda terutamanya melibatkan pilihan raya masih berada pada tahap rendah.
"Inilah isu sosial terbesar yang sedang melanda negara. Sebab itu, kita mahu sarankan kepada penggubal undang-undang dan wakil UMNO yang duduk dalam kerajaan, ubah semula had umur mengundi.
"18 tahun dalam konteks negara ini, seluar dalam, ibu bapa yang beli dan mereka itu baru sahaja selesai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Tahap kematangan dan pemahaman tentang pilihan raya, pengundian, sistem demokrasi, kenapa mengundi, implikasi pengundian ke atas pembentukan kerajaan dan polisi masih di tahap yang merah dan mentah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berbahas dalam Perhimpunan Agung Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Khamis.
Tambah beliau, tahap pemikiran anak muda di Malaysia berbeza dengan golongan seusia mereka yang berada di luar negara.
"Jangan dibandingkan usia 18 tahun anak-anak kita yang ada dalam negara dengan mereka yang berada di luar negara.
"Di kebanyakan negara barat, di usia 18 tahun sudah ramai yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana dan graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
"Sedangkan kebanyakan remaja kita masih asyik bertiktok dan mula mengenal alam asmara yang disebut çinta monyet," ujarnya.
Sementara itu, Norma turut menyarankan agar had umur mengundi dinaikkan ke umur 23 tahun.
Tambahnya, ia bertujuan memulihkan semula jaminan masa depan bangsa dan agenda jangka panjang pembangunan negara.
"Disarankan had umur mengundi dinaikkan ke angka 23 tahun, biar habis setidaknya pengajian ijazah pertama.
"Itulah situasi yang terlebih baik buat semua," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!