Giliran Tze Yong tersingkir
PEMAIN badminton perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong gagal dalam misi memburu gelaran juara Terbuka Malaysia 2023 apabila tumbang di tangan Kodai Naraoka dari Jepun.
Dalam aksi pusingan kedua di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Khamis, Tze Yong yang kini menduduki ranking ke-25 dunia tewas pertarungan tiga set 21-15, 19-21, 15-21.
“Saya sudah cuba sehabis baik untuk menewaskan Kodai. Tetapi beberapa kesilapan saya menyebabkan dia bangkit di set kedua dan menang di set ketiga,” kata Tze Yong kepada pemberita selepas perlawanan.
Kekalahan Tze Yong itu menyaksikan Malaysia tiada lagi wakil dalam acara perseorangan lelaki selepas Lee Zii Jia tersingkir seawal pusingan pertama pada Rabu.
Di sebalik kekalahan Tze Yong, penyokong Malaysia tetap berpesta meraikan kejayaan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mara ke peringkat suku akhir.
Biarpun baru digandingkan dua bulan, mereka mencipta kejutan menewaskan wakil Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati 21-19, 21-16.
“Sekarang kami harus mempersiapkan diri untuk aksi suku akhir. Paling penting kami perlu kawal emosi di gelanggang,” kata Ee Wei.
Terdahulu, beregu profesional lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin terpaksa 'bermandi peluh' sebelum berjaya menewaskan gandingan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han 17-21, 21-13, 21-14.
Dalam aksi suku akhir pada Jumaat, Ee Yi-Yew Sin akan menentang beregu nombor satu dunia dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.
“Semuanya akan menjadi sukar terutamanya apabila masuk suku akhir. Kami tidak mahu fikir mengenai separuh akhir kerana fokus kami adalah aksi suku akhir dahulu,” kata Yew Sin.
Pemain perseorangan profesional wanita negara, Goh Jin Wei pula gagal meneruskan kemaraan ke suku akhir apabila tewas mudah 10-21, 12-21 kepada An Se Young dari Korea Selatan.
“Ada jurang yang sangat besar (dengan Se Young). Jadi saya harus bekerja lebih keras bagi meningkatkan kemampuan diri saya sendiri,” jelas Jin Wei.
Nasib sama turut dialami beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing apabila tewas 18-21, 21-13, 12-21 kepada gandingan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue.
Pemain perseorangan profesional lelaki negara, Liew Daren pula terpaksa menarik diri sebelum berdepan penyandang juara dari Denmark, Viktor Axelsen akibat kecederaan betis kanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!