Terbuka Malaysia 2023: Nova azimat Tang Jie-Ee Wei

Tang Jie dan Ee Wei meraikan kejayaan mereka mara ke suku akhir Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Khamis. - Foto Bernama
Tang Jie dan Ee Wei meraikan kejayaan mereka mara ke suku akhir Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KEHADIRAN jurulatih dari Indonesia, Nova Widianto menjadi azimat buat beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei ketika mengejutkan Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati dalam aksi pusingan kedua Terbuka Malaysia 2023 pada Khamis.

Biarpun baru digandingkan bersama sejak dua bulan lalu, Tang Jie-Ee Wei menghadirkan kegembiraan buat peminat badminton tempatan di Axiata Arena, Bukit Jalil selepas mencatatkan kemenangan 21-19, 21-16 ke atas gandingan Indonesia itu.

"Jurulatih (Nova) memberitahu kami pasangan lawan adalah bekas anak didik dia sebelum ini. Mereka memang konsisten dari segi pertahanan dan mengawal bulu tangkis.

Nova Widianto
Nova Widianto

"Bagaimanapun, dari segi kekuatan mereka sedikit kurang, jadi beliau berpesan kepada kami jangan terlalu gopoh untuk mencari mata.

"Saya tidak boleh cakap ia adalah faktor jurulatih, tapi beliau sangat berpengalaman dan profesional. Saya banyak berterima kasih kepadanya," kata Tang Jie kepada pemberita selepas perlawanan.

Ee Wei pula mengakui gembira dengan kemenangan yang dilakar ke atas pasangan nombor 12 dunia itu, namun dia dan Tang Jie tetap merendah diri.

"Paling penting kami perlu kawal emosi di dalam gelanggang kerana saya dan Tang Jie adalah pemain yang hiperaktif. Nasib baik saya dapat mengawal emosi sebentar tadi," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Nasib berbeza pula dialami satu lagi beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing apabila tewas 18-21, 21-13, 12-21 kepada pilihan kelapan dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!