Bimbang hakisan sungai, tebing runtuh akibat lombong pasir
SUNGAI PETANI - Penduduk Kampung Kemumbung, Sidam Kiri di sini menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera berhubung hakisan sungai yang didakwa berpunca daripada kegiatan melombong pasir dilakukan pihak tertentu.
Mohd Zoikhairi Idris, 37, mendakwa tindakan itu telah menyebabkan kemungkinan sungai menjadi lebih lebar, risiko tebing runtuh dan mengundang kebimbangan awam sekali gus mendatangkan bahaya kepada penduduk.
Dakwanya, kegiatan melombong pasir dipercayai berjalan sejak beberapa tahun lalu, namun semakin aktif sejak kira-kira setahun dua kebelakangan ini.
"Kebimbangan kami ialah kegiatan melombong ini terlalu hampir dengan rumah penduduk dan jalan kampung.
"Kalau kita lihat terdapat kesan hakisan sehingga menampakkan dengan jelas tebing sungai semakin terhakis termasuk menjejaskan tanah milik penduduk, sekarang ini kita nak tahu siapa yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap perkara ini?
"Kami risau tiada lagi kawasan rizab sungai dan sekiranya berlaku hujan lebat atau banjir besar, kami yang terpaksa menanggung risiko," dakwanya.
Penduduk, Mohamad Akhmal Mohd Saad, 31, berkata, hakisan telah menyebabkan jarak antara tebing dan jalan kampung semakin hampir hanya kira-kira 10 meter sahaja.
Menurutnya, kegiatan itu mungkin boleh memberi kesan terhadap alam sekitar dan kesihatan awam.
"Laluan ini dilalui penduduk dari kira-kira 10 buah rumah selain pekebun, penoreh getah dan orang kampung untuk ke kebun atau ladang mereka, jika banjir kami bimbang air melimpah sehingga ke jalan serta lebih berisiko jika berlaku banjir lumpur seperti yang berlaku lebih kurang 20 tahun lalu," dakwanya.
Selain itu, Saiful Ridzuan Mohd, 41, pula berkata, penduduk bimbang dengan kesan melombong pasir yang dipercayai telah menyebabkan sungai lebih lebar dari sebelumnya.
Menurutnya, aktiviti berkenaan boleh menyebabkan tekanan terhadap tebing sungai sedia ada disebabkan perbezaan kedalaman sisi tebing yang boleh berisiko berlaku runtuhan.
"Kalau dibiarkan semakin lama mungkin lebih banyak hakisan berlaku, jadi kami mohon agar pihak berkuasa bertindak segera bagi memastikan kegiatan ini tidak menjejaskan kehidupan seharian penduduk kampung," dakwanya.
Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kemumbung, Mohd Nizar Sudin berkata, aduan berkenaan telah dikemukakan secara rasmi kepada agensi berkaitan termasuk pihak exco kerajaan negeri dan pejabat menteri besar.
"Setakat ini, ada pemantauan dibuat oleh pihak tertentu berhubung aduan ini namun berdasarkan pemerhatian, kegiatan melombong masih berjalan seperti biasa," katanya.
Difahamkan, Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari yang telah pun dimaklumkan berhubung kejadian dan dijangka melakukan kunjungan ke kawasan itu, Jumaat ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!