Relevan lagikah lesen B dikelaskan?

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

LAPORAN Sinar Harian berhubung cadangan supaya mereka yang mempunyai lesen B penuh sahaja boleh membeli motosikal berkuasa tinggi mendapat banyak reaksi.

Ramai bersetuju dengan cadangan tersebut mengambil kira beberapa insiden kemalangan motosikal berkuasa tinggi di negara ini.

Terdapat tiga kelas lesen B iaitu B penuh untuk motosikal melebihi 500cc, B1 (tidak melebihi 500cc) dan B2 (tidak melebihi 250cc), selain lesen C untuk motosikal tiga roda.

Kebanyakan penunggang motosikal di negara ini mempunyai lesen B2, agak kurang yang memiliki B1 atau B penuh. Mereka yang mempunyai lesen B penuh pula kebanyakannya golongan profesional kerana mampu membeli motosikal berkuasa tinggi berharga RM80,000 hingga mencecah RM200,000.

Berdasarkan reaksi orang ramai, ada yang mencadangkan supaya lesen motosikal diselaraskan iaitu kelas B, B1, B2 dan C dijadikan satu lesen sahaja.

Alasannya, mereka yang mempunyai lesen B2 lama-kelamaan pasti mempunyai kemahiran untuk menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Cadangan tersebut juga pernah disuarakan Penyatuan Pemain Industri Pengangkutan Darat Malaysia (PPDM) pada tahun lepas.

Had kelas B2 kepada 250cc juga dikatakan tidak lagi sesuai pada masa kini kerana motosikal kapcai keluaran baharu pun kebanyakan sudah melebihi 150cc.

Artikel Berkaitan:

Rekabentuk motosikal juga semakin canggih sehingga sukar untuk mengenalpasti kapasiti enjin. Ada juga yang membeli motosikal 250cc tetapi mengubah suai enjin kepada 300cc.

Persoalannya, perlukah kelas lesen B ini dimansuhkan?

Mengambil kira pandangan pakar keselamatan jalan raya, menunggang motosikal melebihi 500cc sama sekali jauh berbeza berbanding di bawah 250cc, antaranya melibatkan teknik tunggangan dan membrek, memerlukan latihan dan kemahiran secukupnya.

Jadi, wajar sekiranya kelas lesen B ini dikekalkan.

Cuma, mungkin kerajaan boleh membuat sedikit pengubahsuaian supaya selari dengan peredaran zaman, misalnya meningkatkan had lesen B daripada tidak melebihi 250cc kepada 350cc. Atau mungkin mewujudkan hanya dua kelas motosikal sahaja iaitu B penuh (melebihi 500cc) dan B1 (tidak lebih 500cc).

Paling penting ialah sikap penunggang itu sendiri ketika berada di atas jalan raya. Apa guna mempunyai lesen besar tetapi adab di jalan raya masih kecil sehingga membahayakan diri sendiri serta orang lain.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!