Jangan sampai tidak kenal rupa duit kertas pula
MERAK Jalanan masih boleh keluar membeli-belah dengan senang hati walaupun hanya membawa RM20 di dalam dompet.
Ini kerana kebanyakan kedai sudah mula menyediakan kemudahan tanpa tunai atau cashless. Tak perlu terkejar-kejar mencari mesin ATM untuk mengeluarkan wang tunai.
Restoran kecil di pinggir bandar pun sudah ada yang menyediakan alat imbas kad debit dan e-dompet. Walaupun kerusi dan meja di dalam restoran itu sudah lusuh, tapi bab teknologi, mereka nampaknya sudah ke hadapan.
Merak Jalanan percaya, pada masa akan datang makin ramai tidak membawa wang ketika bersiar-siar membeli belah. Bukan saja mudah, yang penting selamat daripada risiko duit tercicir atau disamun.
Namun, kemudahan ini ada pro dan kontranya. Penggunaan kad debit tanpa kawalan menyebabkan kita tidak sedar baki duit dalam akaun bank sudah semakin menyusut. Berhati-hatilah!
Pembayaran tanpa tunai juga semakin dikembangkan kepada kanak-kanak.
Terbaharu, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Azad di Georgetown mengguna pakai konsep tanpa tunai di kantin. Ia dalam usaha menggalakkan murid-murid menggunakan kad debit bagi tujuan pembayaran makanan dan minuman di kantin.
Merak Jalanan sambut baik langkah sekolah tersebut dan mungkin boleh diterapkan di sekolah-sekolah lain pula.
Cuma Merak Jalanan berharap kanak-kanak di negara ini pada masa akan datang tidak melihat wang kertas sebagai sesuatu yang tidak ada nilai, sebab semua urusan jual beli sudah dalam bentuk maya.
Tidak mustahil juga selepas ini mungkin ada antara kanak-kanak tidak kenal rupa wang kertas pula.
Kerana sering guna kad debit, Merak Jalanan sendiri keliru mana satu keluaran wang kertas RM5 paling baharu apabila ditanya anak buah yang masih bersekolah rendah.
Nasib baik Merak Jalanan masih cam tandatangan gabenor Bank Negara pada wang kertas tersebut!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!