Kad merah Felix penyebab Chelsea tewas

Felix melakukan terjahan ke atas Tete. - Foto AFP
Felix melakukan terjahan ke atas Tete. - Foto AFP
A
A
A

PENGENDALI Chelsea, Graham Potter menyifatkan kad merah yang dilayangkan kepada Joao Felix menjadi titik perubahan ketika kekalahan 1-2 Chelsea kepada Fulham dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada Jumaat.

Namun, Potter tidak menyalahkan Felix dan memahami situasi tidak disengajakan pemain itu dalam penampilan pertama untuk kelab tersebut selepas dipinjamkan daripada Atletico Madrid.

"Ia adalah terjahan penyerang. Tiada niat jahat tetapi saya faham mengapa ia kad merah.

"Ia adalah satu lagi tamparan buat kami dengan kekalahan ini. Joao Felix benar-benar bagus. Anda boleh melihat kualitinya dalam permainan jadi ia memberikan kekecewaan kepada kami," katanya.

Dalam perlawanan itu, Willian membuka tirai jaringan untuk Fulham pada minit ke-25 sebelum Kalidou Koulibaly menyamakan kedudukan pada minit ke-47.

11 minit kemudia, Felix dilayangkan kad merah selepas mengasari Kenny Tete dan Fulham mengambil kesempatan dengan kelebihan pemain untuk menjaringkan gol kemenangan menerusi Carlos Vinicus pada minit ke-73.

Kekalahan tersebut menyaksikan Chelsea kini hanya menang satu daripada sembilan perlawanan dalam semua kejohanan.

"Saya rasa kami mengawal permainan pada permulaan, memenangi bola tinggi, mencipta beberapa peluang dan mungkin terlepas hantaran terakhir. Kami melakukan beberapa kesilapan untuk gol lawan.

Artikel Berkaitan:

"Separuh masa kedua saya rasa kami bertindak balas dengan baik dan kemudian kad merah mengubah permainan. Ia menyukarkan kami sedikit.

"Saya kecewa dengan gol kemenangan lawan kerana saya fikir kami boleh melakukan lebih baik dan itulah yang merugikan kami," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!