PAU 2022: UMNO masih ada masa depan yang cerah

Ahmad Zahid menaikkan bendera UMNO "Sang Saka Bangsa" sempena perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Jumaat. - Foto Bernama
Ahmad Zahid menaikkan bendera UMNO "Sang Saka Bangsa" sempena perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] UMNO masih mempunyai masa depan yang cerah, walaupun berdepan dengan badai dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, melihatkan hampir 3,000 perwakilan dari seluruh negara yang hadir dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 kali ini menunjukkan parti itu masih didukung akar umbi.

“Saya dapat merasakan parti ini masih didukung oleh para pemimpin akar umbi, yang terpancar ketulusan dan keikhlasan di wajah-wajahnya. Walau dibadai tsunami ganas politik, tetap istiqamah dan setia di bawah lembayung UMNO.

“Saya zahirkan perasaan ini kerana saya yakin, setiap daripada kita yang hadir pada Perhimpunan Agung kali ini, datang dengan pengakuan yang sama. Bahawa, semua daripada kita bertanggungjawab atas jatuh bangunnya UMNO,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, pada Jumaat.

Tambah Zahid, tidak perlu menuding jari kepada mana-mana pihak di atas kekalahan besar UMNO dalam PRU15 lalu, sebaliknya semua pihak perlu bertanggungjawab.

“Jika mahu dicari punca, kitalah puncanya. Jika mahu disalahkan, kitalah yang bersalah. Jika mahu dibangunkan semula, kitalah yang mesti menerajuinya.

“Saya harap mulai hari ini, kita bersama-sama sederap untuk melangkah ke hadapan. Saya memulakan ucapan dengan menzahirkan gejolak rasa yang ada di hati saya kerana inilah medan untuk kita berterus terang.

“Perhimpunan Agung adalah tempat untuk kita merenung sejenak ke belakang, bagi membolehkan kita terus mengorak langkah ke hadapan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti perkembangan semasa mengenai Perhimpunan Agung UMNO 2022 di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!